Kerajaan digesa segera beri bantuan kepada PKS | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa segera beri bantuan kepada PKS

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) meminta kerajaan supaya memberi bantuan kewangan seberapa segera kepada penguasaha-penguasaha kecil dan sederhana (PKS) berikutan `lockdown' bermula 1 Jun, esok.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan SAMENTA, Datuk William Ng berkata, secara khususnya, sektor PKS berharap subsidi upah dapat diteruskan dan diperpanjangkan hingga hujung tahun 2021.

 

Beliau berkata, SAMENTA juga berharap moratorium bebas faedah secara automatik diwujudkan untuk semua pinjaman bank, dan pengurangan caj utiliti untuk semua perniagaan.

 

 

Samenta
William Ng

 

"Banyak PKS kita telah hilang akal bagaimana untuk meneruskan perniagaan mereka. Ramai yang melaporkan bahawa mereka berhutang tuan rumah dan pembekal selama berbulan-bulan.

 

"Sebelum PKP menyeluruh ini, ada yang masih berharap dapat memenuhi pesanan yang ada supaya dapat mengumpulkan dana secukupnya untuk melangsaikan hutang ini. Tetapi dengan perintah PKP menyeluruh, ia adalah sukar, jika tidak mustahil untuk peniaga berbuat demikian," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Ng berkata, kebanyakan PKS menyokong penuh kerajaan sepanjang wabak ini. Apabila kerajaan meminta kami untuk tidak memberhentikan pekerja, kebanyakan PKS terus membayar gaji, termasuk dari simpanan peribadi mereka.

 

"Pada saat genting ini, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan nasib PKS dan jutaan pekerja dan keluarga kami, dan memberikan bantuan segera kepada PKS kami," ujar beliau.

 

Sementara itu, kata Ng, SAMENTA menggesa kesemua ahli dan PKS lain untuk mematuhi semua SOP, dan membantu kerajaan membawa turun kadar jangkitan COVID-19. - DagangNews.com