Kerajaan digesa segera gubal Akta Sewaan Kediaman | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa segera gubal Akta Sewaan Kediaman



KUALA LUMPUR 10 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan potongan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas sekali lagi yang dijangka tidak akan merangsang penjualan hartanah.

Platform sewaan kediaman dalam talian, SPEEDHOME percaya prospek pekerjaan yang pesimis bakal menyebabkan permintaan rumah sewa akan terus meningkat. Susulan itu, kerajaan harus segera meluluskan Akta Sewaan Kediaman bagi memperbaiki mekanisme pasaran sewa supaya konflik di antara pemilik rumah dan penyewa dapat dikurangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng berkata, kadar dasar semalaman (OPR) di Malaysia telah menurun kepada 1.75 peratus, terendah sejak krisis kewangan global pada tahun 2008.

Tambahan pula dengan ancaman wabak COVID-19 yang belum reda di negara asing akan menyebabkan pasaran perumahan dijangka untuk terus mengalami kemerosotan.
 

Wong Whei Meng
Wong Whei Meng


“Rumah dan tempat tinggal merupakan perkara paling asas untuk semua orang. Sekiranya mereka tidak mampu untuk membeli rumah lagi buat sementara waktu ini, pastinya rumah sewa akan menjadi pilihan utama mereka. Malahan juga, hal ini dapat dilihat sendiri di dalam platform sewaan SPEEDHOME terutamanya selepas tamat PKP. Kami mendapat banyak pertanyaan daripada penyewa mengenai kekosongan unit sewa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

Secara umumnya, Malaysia belum lagi mempunyai sebarang Akta Sewaan Kediaman yang khusus untuk pasaran sewaan. Kebanyakannya masih bergantung kepada perjanjian sewaan untuk menunjukkan tanggungjawab dan kewajipan kedua-dua belah pihak.

Sekiranya terdapat perselisihan faham antara pemilik dan penyewa rumah, mereka perlu menghadapi prosedur undang-undang yang panjang. Kenaikan kos sewa dan deposit rumah yang tinggi juga dikenakan oleh pihak tuan rumah bagi mengelakkan penyewa merosakkan harta benda rumah sewa.

Tiga kebimbangan utama tuan rumah SPEEDHOME telah melakukan tinjauan terhadap pemilik kediamannya dan menemui tiga kebimbangan utama tuan rumah terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

1. Tidak membayar sewa atau kos utiliti tepat pada masa

Kebanyakan penyewa mempunyai kebiasaan menangguhkan pembayaran sewa, mengabaikan mesej dan panggilan telefon tuan rumah setelah berpindah masuk ke rumah sewa, malahan menghilangkan diri setelah dua bulan potongan deposit dibuat.

Untuk menangani penyewa bermasalah seperti ini, pemilik rumah perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir penyewa ini di mana ianya agak sukar untuk dilakukan.

Sekiranya Malaysia mempunyai institusi penghakiman bagi sewaan kediaman yang serupa dengan tribunal tuntutan pengguna, pastinya pihak pemilik rumah lebih yakin untuk menyewakan rumah tersebut.

2. Harta benda kediaman dimusnahkan

Kebanyakan pemilik rumah khuatir rumah yang masih lagi dalam pinjaman bank dirosakkan oleh penyewa jadi mereka lebih selesa untuk tidak menghiaskan rumah tersebut.

Namun begitu, tempoh kekosongan unit tersebut akan mengambil masa yang lama untuk disewakan berbanding dengan rumah yang lengkap berperabot. Oleh itu, pemilik rumah digalakkan untuk membeli insurans bagi melindungi harta benda mereka.

3. Penyewa kerap menghubungi pemilik rumah

Bagi sesetengah penyewa, selagi ada masalah kecil di rumah seperti mentol lampu yang rosak, tombol pintu atau dinding rosak, penyewa akan kerap menghubungi pemiliknya untuk meminta pemilik untuk membaikinya.

Perjanjian sewaan yang disediakan perlulah menyatakan secara jelas mengenai tanggungjawab penyewa untuk memastikan keadaan rumah sewa dalam keadaan baik ketika rumah disewakan. Sebelum berpindah keluar, penyewa seharusnya memastikan rumah di dalam keadaan yang baik.Sekiranya tiada keperluan, penyewa perlulah mengelakkan daripada mengganggu tuan rumah.

Namun, pihak tuan rumah wajib membantu penyewa sekiranya terdapat masalah besar seperti paip bocor dan lain-lain lagi pada masa akan datang. - DagangNews.com