Kerajaan dijangka beri lebih banyak insentif bagi galakkan rakyat beli EV - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dijangka beri lebih banyak insentif bagi galakkan rakyat beli EV - Kenanga Research

Jualan EV meningkat saban tahun antaranya didorong pengecualian SST. Gambar hiasan BYD Cars Malaysia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan memberikan lebih banyak insentif bagi menggalakkan lebih banyak permintaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini sejajar dengan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15% daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) menjelang tahun 2030 dan seterusnya sehingga 38% menjelang 2040.

 

"Sekarang ini jualan kenderaan disokong oleh kenderaan elektrik bateri baru (BEV) yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV sehingga 2025 untuk CBU (import sepenuhnya) dan 2027 untuk CKD (pemasangan tempatan). 

 

"Pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022, 10,159 unit pada 2023 dan 6,617 unit untuk separuh pertama 2024 (laporan suku tahunan)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah Kenanga Research, penyasaran subsidi bahan api petrol yang dijangka dilaksanakan kerajaan juga mungkin meningkatan minat golongan M40 kepada EV.

 

"Kumpulan M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baru, atau mereka mungkin memilih untuk beralih kepada kereta yang lebih kecil atau beralih ke EV untuk mengurangkan bil bahan api mereka selepas pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api," ujarnya.

 

Sementara itu, kata firma penyelidikan tersebut, kerajaan Malaysia juga akan mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecas di seluruh negara. 

 

"Jumlah stesen pengecas yang beroperasi kini sebanyak 3,951 dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini," kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan ramalan jualan kenderaan baru di Malaysia untuk 2024, yang juga dikenali sebagai TIV sebanyak 740,000 unit (-8%), yang sedikit lebih konservatif berbanding ramalan 765,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Walau bagaimanapun secara umum, kata firma itu, tahap keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh baki tempahan sebanyak 170,000 unit pada akhir Julai 2024, tidak berubah dari sebulan yang lalu. 

 

"Lebih daripada separuh baki tersebut terdiri daripada model baru, menunjukkan daya tarikan model baru kepada pembeli kereta," jelasnya yang menggariskan rasionalisasi subsidi petrol dan pelaksanaan e-invois boleh memberikan tekanan kepada jualan kenderaan pada 2H24.

 

Pilihan utama Kenanga Research bagi sektor automotif adalah MBMR dengan saranan Out Perform dan TP RM6.30 sesaham yang merupakan pilihan yang baik untuk jenama Perodua yang mampu milik dan cekap bahan api. 

 

"Ia juga menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar 7%," jelas firma penyelidikan itu. - DagangNews.com