Kerajaan dijangka fokus pengukuhan kelas pertengahan, PMKS dalam Belanjawan 2024 - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dijangka fokus pengukuhan kelas pertengahan, PMKS dalam Belanjawan 2024 - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Kerajaan dijangka memberi keutamaan kepada pengukuhan kelas pertengahan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meringankan beban akibat kenaikan kos sara hidup di bawah Belanjawan 2024.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, bajet negara akan diselaraskan dengan dasar jangka sederhana dan panjang seperti Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

 

"Bajet 2024 dijangka dibina di atas asas disiplin fiskal yang diletakkan oleh Belanjawan Malaysia Madani 2023, bertujuan untuk menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas untuk pembaharuan fiskal dan landskap kewangan negara.

 

"Mengambil kira tarikan pelaburan, penstrukturan semula sosio-ekonomi dan daya tahan fiskal, kami percaya kebarangkalian yang kukuh wujud untuk penyatuan fiskal, digariskan oleh pengagihan semula sumber ke arah memperkukuh kebajikan isi rumah dan sektor yang terdedah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest percaya bahawa dalam Belanjawan 2024, kerajaan dijangkan menyatakan dasar cukai yang komprehensif dan strategi fiskal yang berkekalan.

 

Katanya, komitmen kerajaan terhadap pelaburan langsung domestik sebagai peneraju agenda pelaburan menyeluruh negara.

 

"Adalah penting untuk mengekalkan sistem sokongan yang teguh untuk PMKS, membolehkan integrasi mereka yang lebih besar ke dalam rantaian nilai global.

 

"Di luar objektif ekonomi ini, pendekatan strategik ini akan meletakkan Malaysia di kalangan 20 teratas negara dalam indeks inovasi global, peningkatan ketara daripada kedudukan ke-36 semasa," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan Belanjawan 2024 akan merealisasikan mekanisme subsidi bahan api bersasar dengan menggabungkan kedua-dua garis masa dan rangka kerja strategik yang jelas.

 

Pada masa yang sama, perasmian Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) yang menempatkan data sosio-ekonomi rakyat Malaysia bersedia untuk berfungsi sebagai alat bagi membolehkan subsidi bersasar boleh diperhalusi, meningkatkan keberkesanan bantuan tunai, peruntukan kebajikan dan program jaringan keselamatan. 

 

"Kami menjangkakan peningkatan menggalakkan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran peningkatan sebanyak 4.5% dari tahun ke tahun," katanya. - DagangNews.com