Kerajaan dijangka sasar pertumbuhan KDNK antara 5% hingga 5.5% dalam Belanjawan 2024 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dijangka sasar pertumbuhan KDNK antara 5% hingga 5.5% dalam Belanjawan 2024 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Kerajaan dijangka menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5% hingga 5.5% dalam Belanjawan 2024.

 

Kenanga Research berkata, sasaran itu, adalah selaras dengan sasaran pertumbuhan yang ditetapkan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang dibentangkan baru-baru ini.

 

“Bagaimanapun, kami melihat sasaran ini agak optimis, memandangkan ekonomi global yang semakin tidak menentu dan ia memberi kesan langsung kepada pertumbuhan domestik.

 

"Oleh itu, kami meramalkan pertumbuhan KDNK 2024 pada 4.9% mengelak sebarang kejutan yang tidak dijangka kesan daripada ekonomi global yang lemah akibat persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Belanjawan 2024 yang akan dibentang pada 13 Oktober ini oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan diterjemahlan kepada rangka kerja ekonomi Malaysia Madani.

 

“Memandangkan sasaran defisit fiskal optimistik yang ditetapkan di bawah KSP RMK12 dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025, kerajaan mungkin mengumumkan sasaran defisit fiskal sebanyak 4.6%.

 

“Bagaimanapun, kami kekal konservatif, menyasarkan antara 4.5% dan 5% kesan prospek ekonomi global yang mencabar pada 2024,” katanya.

 

Kenanga Research berkata, pelaksanaan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal, cukai barangan mewah dan potensi pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin meningkatkan pendapatan kerjaan pada 2024.

 

Sementara itu, hasil berkaitan minyak dijangka kekal stabil pada 2024, disokong oleh prospek yang menggalakkan untuk harga minyak mentah global dengan ramalan rasmi untuk penanda aras minyak kekal melebihi AS$80 setong, didorong oleh peningkatan permintaan minyak global, pemotongan bekalan lanjutan oleh OPEC dan ketegangan geopolitik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) akan diperkenalkan bagi menghapuskan subsidi menyeluruh, terutama bagi RON95 dan diesel, serta meningkatkan pakej bantuan sosial.

 

Bagi memudahkan kenaikan gaji, meningkatkan produktiviti dan menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan boleh meningkatkan gaji penjawat awam, serta melaksanakan Pemodelan Gaji Progresif yang dijadualkan pada suku kedua 2024.

 

"Pada masa yang sama, perbelanjaan pembangunan dijangka tertumpu kepada peningkatan pembangunan sosioekonomi bagi menyediakan keadaan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi.

 

“Infrastruktur rangkaian pengangkutan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi akan menjadi tumpuan pembangunan bagi meningkatkan kemakmuran negara.

 

"Kami menjangkakan tiada projek mega baharu akan diumumkan, sebaliknya akan ada kebangkitan dan pecutan dalam projek sedia ada," katanya. - DagangNews.com