Kerajaan kaji jika ada kos tersembunyi mengambil pekerja | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji jika ada kos tersembunyi mengambil pekerja

PUTRAJAYA 5 Julai - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengkaji semula isu berkaitan kos yang dikenakan oleh agensi pekerjaan swasta sekiranya terdapat kos-kos tersembunyi yang boleh membebankan pekerja mahupun majikan sehingga menjurus kepada elemen eksploitasi dan perhambaan hutang (debt bondage).

 

Menterinya, Datuk Seri M.Saravanan berkata, kementerian juga akan menyemak semula memorandum persefahaman yang telah dan akan ditandatangani dengan negara-negara sumber, khususnya bagi memperkasakan elemen perlindungan hak golongan pekerja dan dalam masa yang sama, tidak membebankan para majikan.

 

Beliau berkata, kementerian juga akan memperhalusi aspek sama ada pekerja domestik perlu dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

 

Menurutnya, dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terbela, perlindungan sosial kepada pekerja domestik diwujudkan.

 

Katanya, para majikan yang menggajikan pekerja domestik adalah wajib untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula pertengahan tahun 2021.

 

“KSM maklum dan memandang serius isu-isu di bawah bidang tanggungjawab kementerian ini seperti yang dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan manusia baru-baru ini yang meletakkan Malaysia pada tier 3,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam hal ini kata saravanan, cabaran dalam menangani isu perburuhan khususnya yang melibatkan pekerja warga asing akan terus diberikan perhatian oleh Kementerian selain melaksanakan pelbagai penambahbaikan secara berterusan kepada inisiatif sedia ada.

 

saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan

 

 

“Isu perburuhan menjadi amat kompleks berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas sehingga kini.

 

“Namun demikian, KSM terus mengambil pelbagai inisiatif termasuklah memperketatkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

 

“Kementerian juga akan memastikan akta ini dapat dikuatkuasakan seiring dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 untuk meningkatkan jumlah sabitan berkaitan isu buruh paksa,” ujar beliau.

 

Dalam pada itu kata Saravanan, aplikasi mobil Working for Workers (WFW) yang dibangunkan sejak Mei 2021 merupakan satu platform untuk para pekerja memfailkan aduan secara terus kepada 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

 

“Sehingga 4 Julai 2021, sejumlah 4,636 aduan telah diterima di mana 3,502 aduan telah disiasat dan diambil tindakan. Maklumat daripada aduan yang diterima ini juga telah membantu pihak penguatkuasa Kementerian untuk menyiasat dakwaan kes buruh paksa,” ujarnya.

 

KSM juga kata beliau, berkolaborasi dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi membangunkan satu Pelan Tindakan Nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini.

 

“Malah, KSM sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak-pihak berkepentingan lain dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang khususnya buruh paksa,” katanya. – DagangNews.com