Kerajaan labur RM21 bilion di bawah Jendela | DagangNews Skip to main content

Kerajaan labur RM21 bilion di bawah Jendela

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kerajaan akan melabur sebanyak RM21 bilion dalam tempoh 5 tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk itu, rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100% kawasan berpenduduk secara berperingkat. 

 

"Ia akan meningkat daripada 7.5 juta premis pada akhir 2022 kepada 9 juta premis menjelang penghujung 2025," katanya dalam pelancaran MyDigital secara maya pagi tadi. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Menurut beliau, untuk merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan, 4 jenis prasarana digital penting di bawah MyDigital ini perlu dibina terlebih dahulu. 

 

"Usaha pembinaan ini akan dilakukan menerusi pendekatan usaha sama antara kerajaan dan swasta di mana sektor swasta berkongsi menyumbangkan dana modal dan kemahiran," katanya. 

 

Perdana Menteri berkata, bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima (5G) dalam masa terdekat.

 

"Untuk itu, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga 2023. 

 

"Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekali gus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia," jelas beliau. - DagangNews.com