Kerajaan lulus pelan hala tuju strategik e-Dagang 2.0, kata Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lulus pelan hala tuju strategik e-Dagang 2.0, kata Mustapa

KUALA LUMPUR 23 April - Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara meluluskan Pelan Hala tuju Strategik e-Dagang 2.0 sebagai pendekatan berfokus untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekosistem e-Dagang di Malaysia.

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelan tersebut diluluskan semasa mesyuarat majlis itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Menurut beliau, pada masa kini Malaysia merupakan pasaran e-dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

 

“Menjelang 2025, saiz pasaran e-dagang di Malaysia disasarkan bernilai RM1.5 trilion berbanding RM460 bilion pada 2018.

 

“Selain itu, menjelang 2025, disasarkan 875,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan menerima guna e-dagang berbanding 489,958 pada hujung 2020,” ujarnya, lapor Bernama.

 

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk melaksanakan konsep platform pelbagai aplikasi atau ‘Super App’ sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan digital kerajaan dan beberapa perkhidmatan digital sektor swasta yang terpilih.

 

tokpa
Mustapa Mohamed

 

Kerajaan akan mengadakan libat urus dengan beberapa pihak berkepentingan untuk memperincikan cadangan konsep tersebut sebelum dimuktamadkan.

 

Menurutnya, mesyuarat itu juga turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Digital Investment Oce (DIO) yang diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosi dan memudahcara pelaburan dalam bidang digital.

 

Melalui pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pelaburan dalam bidang digital dijangka meningkat, katanya.

 

Mustapa berkata, mesyuarat itu juga turut mendengar laporan pencapaian enam Kluster iaitu Bakat Digital, Infrastruktur Digital dan Data, Teknologi Baru Muncul, Ekonomi, Masyarakat dan Kerajaan yang ditubuhkan  untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Rangka Tindakan tersebut dan berpuas hati dengan kemajuan yang dicapainya.

 

Sementara itu, katanya, kerajaan telah melantik Fabian Bigar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) yang ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

 

“SCMO berperanan untuk memacu pengurusan perubahan dan bertanggungjawab memantau serta menilai pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia,” katanya. - DagangNews.com