Kerajaan masih perhalusi penubuhan RCI siasat Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Kerajaan masih perhalusi penubuhan RCI siasat Tabung Haji

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com



KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kerajaan masih mempertimbangkan dan memperhalusi cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat transaksi di Tabung Haji (TH). 


 

“Kerajaan sedang mempertimbang dan memperhalusi dengan penuh teliti termasuk aspek perundangan dan kaedah pelaksanaan agar penubuhannya mencapai matlamat seperti yang diharapkan.

 

“Kerajaan amat memahami bahawa perlunya kepada sesuatu badan bebas dan berautoriti dalam meneliti serta menilai segala transaksi yang dilakukan TH. 

 

Dr. Zulkifli
Zulkifli Mohamad Al-Bakri

 

“Justeru, cadangan penubuhan RCI telah dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada 18 Ogos 2020,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Rakyat. 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung langkah yang telah diambil kerajaan bagi mewujudkan suruhanjaya siasatan tersebut.

 

Tambah beliau, segala usaha dilaksanakan kerajaan adalah untuk mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.

 

Dalam masa sama, pihaknya ingin memastikan segala urus tadbir TH menepati kepentingannya sebagai milik institusi umat Islam di negara ini. 

 

“Ingin saya tegaskan bahawa segala yang dilakukan oleh kerajaan adalah dengan niat suci untuk mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.

 

“Saya mohon Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk memelihara kesucian institusi umat Islam ini,” ujarnya. - DagangNews.com