Kerajaan peruntuk RM20.7 bilion untuk subsidi upah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan peruntuk RM20.7 bilion untuk subsidi upah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kementerian Kewangan menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai peruntukan kerajaan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang ditambahbaik melalui Pakej Bantuan Permai sehingga ada pihak yang mengeluh bantuan itu tidak mencukupi. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah PSU 3.0 perlu dilihat bersama bantuan-bantuan lain dan tidak patut dilihat secara bersendirian. 

 

Jelasnya, peruntukan terkini bagi PSU pada 2021 ialah RM3 bilion dan dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas akibat PKP, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan
jumlahnya RM1.5 bilion di bawah Permai. 

 

"Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021. 

 

"Dengan itu, bermakna program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion," katanya dalam laporan Laksana ke-38 hari ini. 

 

Menurut beliau, selain daripada jumlah RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan. 

 

Malah, katanya, ia juga merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

 

Tengku Zafrul berkata, bagi PSU 1.0 yang masih berjalan, sebanyak RM12.702 bilion telah disalurkan kepada 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang didaftarkan. 

 

Sementara itu, PSU 2.0 di bawah pakej Kita Prihatin pula membabitkan jumlah sebanyak RM590.35 juta telah disalurkan kepada 57,146 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 475,510 pekerja.

 

"Seperti yang dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor
pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan Permai," jelas beliau. 

 

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa kadar sewa premis perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diturunkan 30%. 

 

"Insentif cukai bagi mereka yang memberikan kemudahan yang sama dilanjutkan kepada semua penyewa perniagaan, berbanding hanya penyewa PKS sebelum ini," katanya.

 

Mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) Permai pula, katanya, berikutan pelaksanaan PKP di hampir seluruh negara kecuali Sarawak, GKP akan menerima suntikan tambahan RM150 juta. 

 

Tambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM800 juta. 

 

"Bagi PKS mikro yang telah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka," katanya. 

 

Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0. 

 

"Dengan GKP Permai, jumlah keseluruhan yang telah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP sahaja," katanya. - DagangNews.com