BERA 22 Okt - Kerajaan sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0 dan melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, internet pelbagai benda (IoT), analisis dan data raya, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
Menurut beliau, literasi digital yang dimiliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, bahkan ketika itu
pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.
Ini kerana dalam revolusi industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk
mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.
"Contoh, ketika saya merasmikan Hospital Bera, saya terpegun melihat pengunaan robotik yang menghantar makanan kepada pesakit di wad. Ini merupakan bukti
kecanggihan teknologi moden yang diguna pakai di hospital itu.
"Penggunaan teknologi muktahir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor dalam negara ini yang memerlukan mereka berubah seiring dengan transformasi
digital untuk kekal berdaya saing.
"Kerajaan hari ini sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi," kata Perdana Menteri pada majlis penyampaian sumbangan beliau dan penyerahan komputer oleh Theta Edge Berhad di Dewan Konvensyen Majlis Derah Bera di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad, Nuraslina Zainal Abidin.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut melancarkan Inisiatif Malaysia Digital (MD) pada Julai lalu yang memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.
"Minggu lepas, saya telah merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia di FELDA Bukit Puchong bagi menyemarakkan
budaya inovasi dan kreativiti agar lebih ramai dapat bergiat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
"Inisiatif seperti Ruang Reka ini sekurang-kurangnya dapat membantu mewujudkan masyarakat yang celik teknologi kerana kita tidak mahu ada yang tertinggal dalam arus kecanggihan teknologi kelak,'' ujar beliau.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pelajar golongan B40 tidak ketinggalan dalam kaedah pembelajaran pada pasca pandemik ini, kerajaan telah melaksanakan program PerantiSiswa, tablet berkualiti tinggi ini diberikan secara terus kepada kira-kira 400,000 pelajar yang layak secara percuma.
Menurut beliau, agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika saya menerajui semula Kerajaan.
"Saya berharap anda semua mampu membuat penilaian yang tepat dan mengundi semula Kerajaan saya pada 19 November ini," kata Ismail Sabri. - DagangNews.com