Kerajaan serius tangani isu jurang pendapatan - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kerajaan serius tangani isu jurang pendapatan - Mustapa

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Malaysia perlu mencari kaedah yang berdaya mapan bagi menangani masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan ketika negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi mencapai pembangunan seimbang dan inklusif, potensi pembangunan ekonomi serantau akan dimanfaatkan dan kawasan luar bandar akan mengalami perubahan bagi merapatkan jurang pembangunan. 

 

Katanya, berdasarkan Laporan Kaji Selidik Pendapatan Isirumah dan Kemudahan Asas 2019, petunjuk Gini meningkat daripada 0.39 pada 2016 kepada 0.41 pada 2019. 

 

"Jurang pendapatan antara daerah dan negeri juga semakin meningkat, begitu juga antara kaum dan juga dalam kelompok kaum yang sama. 

 

"Ini memerlukan kerajaan mencari kaedah baharu dalam menangani masalah ketidakseimbangan pendapatan. Walaupun, kita telah melakukannya dengan baik suatu ketika dulu, tetapi masih banyak lagi perlu dilakukan," katanya.   

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development pagi ini.

 

Turut serta, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Naib Presiden Serantau World Bank Group, Victoria Kwakwa.

 

Menerusi laporan itu, Bank Dunia menjangkakan Malaysia mampu mencapai negara ekonomi berpendapatan tinggi antara 2024 hingga 2028.

 

Berdasarkan Laporan Bank Dunia, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada AS$11,200, kurang kira-kira AS$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Menurut Mustapa, pada ketika kerajaan memberi fokus untuk mengatasi pandemik COVID-19 dan menghidupkan semula ekonomi, perancangan bagi pembangunan ekonomi juga diperlukan demi kemajuan negara dalam jangka masa panjang. 

 

Dalam konteks ini, katanya, pelan pembangunan sosioekonomi 5 tahun di Rancangan Malaysia ke-12 adalah penting yang menetapkan hala tuju jelas dan meletakkan ekonomi negara dengan asas yang kukuh. 

 

"Pandemik ini memberi kita banyak ruang untuk membuat pembaharuan, meskipun sebelum krisis ini, juga terdapat keperluan ke arah pembaharuan ini, bukan sahaja untuk meningkatkan pertumbuhan tetapi kualiti pertumbuhan ekonomi," jelasnya. 

 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai trajektori pertumbuhan yang mantap dan telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak beberapa dekad lalu, hasil daripada transformasi ekonomi dan meningkatkan taraf hidup secara berterusan.

 

"Bagaimanapun, kita kekal komited untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan ekonomi membangunan walaupun pandemik ini sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan kita ke hadapan," katanya. 

 

Mustapa juga menyifatkan pelaksanaan rangsangan ekonomi Amerika Syarikat bernilai AS$1.9 trilion yang akan melonjakkan pertumbuhan global, turut memberi impak kepada Malaysia.

 

Menerusi Prospek Global Ekonomi Bank Dunia pada Januari 2021, Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan 6.7% tahun ini manakala 4.8% pada 2022 setelah ekonomi negara menguncup 5.6% tahun lalu akibat pandemik COVID-19. - DagangNews.com