KUALA LUMPUR 12 Mei - Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion
(AS$452.363.867.40) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
Wang tersebut adalah sebahagian daripada dana berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah disita.
Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara, telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB. Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.
Setakat ini, Kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman
berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “Baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja. Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT.
"Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG. Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokongoleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.
Menuru beliau, pemulihan dana berkaitan 1MDB ini tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat, terutamanya dengan DOJ.
"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika Syarikat dan mengharapkan kerjasama erat di antara kita ini dapat diteruskan”, kata beliau.
Tengku Zafrul berkata, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh Kerajaan pada masa ini memfokuskan
kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.
"Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC," tegas beliau. - DagangNews.com