Kerja Sambilan Punca Rezeki Pelajar B40 | DagangNews Skip to main content

Kerja Sambilan Punca Rezeki Pelajar B40

Perancangan yang rapi perlu dibuat supaya tidak ada pertembungan antara jadual belajar dan jadual bekerja.
Oleh Ainaa Asilah Azmi

ISU bekerja sambilan bukanlah perkara baharu yang dilakukan oleh pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta.

 

Sejak dahulu, isu ini sering diketengahkan dan jumlah tersebut semakin meningkat lebih-lebih lagi bagi pelajar daripada keluarga miskin serta kelompok kumpulan berpendapatan isi rumah terendah, B40.

 

Ada yang berpendapat, bekerja sambilan ini dapat memberi banyak faedah dan kelebihan. Namun, ada juga segelintir pihak yang beranggapan sebaliknya.

 

Bagi pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Faris Ikhwan Abu Bakar, bekerja sambilan memang banyak memberi faedah kepada dirinya.

 

Dengan bekerja sambilan, beliau dapat menambah duit poket sepanjang tempoh pengajian di samping meringankan beban ibu bapa.

 

“Belajar di Kuala Lumpur yang kos sara hidupnya tinggi, telah memaksa saya untuk membuat kerja sambilan ini”.

 

Tambahan lagi, “duit tersebut dapat saya gunakan bagi perbelanjaan bahan bantu mengajar di sekolah atau ketika kecemasan seperti menanggung kos rawatan hospital. Selain itu, ibu bapa saya juga tidak perlu bimbang memikirkan duit perbelanjaan untuk saya,” katanya.

 

“Sejujurnya duit daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak mencukupi. Ia hanya dapat menampung kos yuran pengajian sahaja,” kata salah seorang pelajar B40 di Institut Pengajian Tinggi Awam.

 

“Sekurang-kurangnya, dengan bekerja sambilan, saya dapat menabung bagi membayar semula hutang PTPTN kelak,” tambahnya lagi.

 

Difahamkan, dia telah melakukan pelbagai kerja sambilan seperti menjadi personal shoppermenjual pakaian bundle dan pernah juga bekerja sebagai guru tuisyen.

 

Sebenarnya, tatkala wabak COVID-19 melanda negara, bekerja sambil belajar adalah suatu perkara yang sangat relevan buat mahasiswa untuk membantu keluarga mereka yang tidak mampu membayar yuran pengajian, yuran kolej, pembelian buku pelajaran dan sebagainya.

 

 

parafrasa

 

 

Memandangkan segulung ijazah kini bukan lagi tiket untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengubah nasib keluarga dan diri, jadi bekerja sambil belajar mampu memberikan peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran diri dan memberikan pengalaman bekerja kepada mereka sebelum masuk ke alam pekerjaan yang sebenar.

 

Pengalaman kerja itu juga boleh dijadikan sebagai tambah nilai kepada resume mereka.

 

Bekerja sambil belajar juga membolehkan mahasiswa itu untuk mengukur di mana tahap kemampuan dan minat yang mereka miliki untuk digilap menjadi lebih baik pada masa akan datang.

 

Tidak dinafikan, walaupun terdapat banyak kelebihan namun ada juga segelintir pelajar yang bekerja sambil belajar menyebabkan keputusan peperiksaan mereka merosot.

 

Di sini jelas menunjukkan bahawa kesan pekerjaan sambilan kepada prestasi mahasiswa adalah berbeza dan ianya bergantung kepada individu itu sendiri.

 

Setiap mahasiswa mestilah bijak dalam mengimbangi masa antara belajar dan bekerja supaya pelajaran mereka tidak terjejas.

 

Perancangan yang rapi perlu dibuat supaya tidak ada pertembungan antara jadual belajar dan jadual bekerja. Sebagai contoh, bekerja pada waktu cuti dan hujung minggu sahaja (Sabtu & Ahad).

 

Selain itu, setiap mahasiswa tidak boleh menggunakan alasan bekerja untuk tidak memberikan komitmen yang terbaik dalam tugasan berkumpulan.

 

 

parafrasa

 

 

Keengganan untuk memberikan kerjasama kepada ahli kumpulan menyebabkan mahasiswa yang lain tertekan dan dikhuatiri berlaku pula perkara yang tidak diingini.

 

Mahasiswa juga disarankan mempunyai buku perancangan harian supaya mereka tidak terlepas atau terlupa tarikh-tarikh penting seperti tarikh penghantaran tugasan dan lain-lain dek kerana kesibukan bekerja.

 

Selalu berinteraksi dengan pensyarah ataupun penasihat akademik juga adalah sangat disarankan bagi mendapatkan nasihat dan motivasi daripada mereka yang lebih berpengalaman.

 

Sebelum membuat keputusan untuk bekerja, mahasiswa perlulah meneliti sama ada pekerjaan tersebut sesuai dengan mereka atau tidak. Mereka perlulah memilih pekerjaan yang jadualnya tidaklah begitu padat.

 

Sebagai contoh, dengan menjadi ejen (dropship) kepada sesuatu produk dan terbabit dalam GIG ekonomi seperti Food Panda, Grab Car dan sebagainya.

 

Akhir sekali, walaupun bekerja sambilan ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dalam pelbagai aspek sama ada untuk perbelanjaan diri sendiri mahupun bagi meringankan beban ibu bapa.

 

 

parafrasa

 

 

Namun setiap mahasiswa mestilah bijak mengutamakan hal penting dan mengetahui batas kemampuan diri agar berani membuat keputusan untuk bekerja sambil belajar. Bak kata pepatah “ukur baju di badan sendiri”.

 

Dalam apa jua situasi yang dihadapi, tanggungjawab sebagai seorang pelajar juga perlulah diutamakan. - DagangNews.com

 

Ainaa Asilah Binti Azmi adalah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia