KUALA LUMPUR 17 Feb - Pemaju perumahan mampu milik, Lagenda Properties Berhad dan pemilik ESCAPE Penang, Sim Leisure Group Ltd. berhasrat untuk mengoptimumkan penggunaan kawasan hijau di kawasan perbandaran untuk membina taman permainan di luar kebiasaan bagi mencipta suasana baharu kepada pemilik rumah.
Cadangan itu adalah selari dengan objektif utama kumpulan untuk membina kawasan perumahan mampu milik yang menyediakan nilai terbaik kepada pemilik yang disatukan dengan pembangunan mampan, unik selain kemudahan berorientasikan keluarga dalam meningkatkan kualiti hidup.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat itu, Lagenda menyediakan kawasan antara 20,000 kaki persegi hingga beberapa ekar untuk pembinaan taman rekreasi yang dibezakan antara elemen komersial dan bukan komersial.
Pembangunan itu juga akan memberikan penekanan mesara alam sekitar dan konsep pembinaan adalah selari dengan komitmen Lagenda dalam mempromosikan amalan alam sekitar, sosial dan uru tadbir (ESG) seperti pembinaan panel solar di kawasan perumahan baharu.
Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, pihaknya sentiasa mencari jalan terbaik untuk menambah nilai kepada kawasan perbandaran baharunya selain berusaha memenuhi permintaan komuniti.
"Jalinan kerjasama dengan Sim Leisure Group akan menyediakan kawasan umum berkonsepkan taman tema di tengah-tengah pembangunan mampan.
"Pembangunan berkonsepkan alam semula jadi ESCAPE Penang bukan sahaja menarik tetapi sangat bersesuaian dengan keluarga dan Lagenda akan mengetuai jalinan kerjasama ini dalam membangunkan perbandaran baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Sim Choo Kheng berkata, jalinan kerjasama itu mencipta satu sejarah baharu dalam pembangunan kawasan perumahan pada masa akan datang dan beliau berbangga kerana Lagenda menjadi perintis dalam memperkenalkan konsep itu.
"Berbanding konsep kejiranan tradisional, taman rekreasi baharu akan membawa identiti tersendiri selain memberi dimensi baharu serta kegembiraan dalam komuniti.
"Menerusi pendekatan khusus kami, jenama ESCAPE Kids akan memberikan pengalaman baharu menerusi konsep taman pengembaraan yang bertemakan memori permainan gaya kampung berteras konsep alam semula jadi," katanya. - DagangNews.com