Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM293 juta daripada anak syarikat UEM Sunrise bagi pembinaan bangunan kediaman di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM293 juta daripada anak syarikat UEM Sunrise bagi pembinaan bangunan kediaman di Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi Kerjaya PRospek (M) Sdn Bhd memperoleh kontrak RM292.8 juta daripada Mega Legacy (M) Sdn Bhd, anak syarikat UEM Sunrise Bhd bagi pembinaan bangunan kediaman di mukim Batu, Kuala Lumpur. 

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu merangkumi pembinaan bangunan 57 tingkat dengan 1,126 unit kediaman dan struktur parkir setinggi lapan tingkat

 

"Pembinaan dijadualkan bermula pada 17 September 2024, dengan garis masa siap selama 38 bulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, pihaknya berbesar hati menerima kontrak itu dan ia akan meningkatkan nilai kontrak terkumpul tahun ini kepada RM1.5 bilion dan mengukuhkan jumlah buku pesanan tertunggak kumpulan kepada kira-kira RM4.7 bilion. 

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada Kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Projek ini menambah nilai penting kepada kerjasama berterusan kami dengan UEM Sunrise, yang kini kami terlibat dalam dua lagi pembangunan kediaman. 

 

"Perkongsian berterusan dengan mereka menekankan keupayaan dan kebolehpercayaan kumpulan untuk melaksanakan projek berkualiti tinggi, mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai kontraktor pilihan dalam industri," katanya.- DagangNews.com