Kerjaya Prospek raih kontrak sulung bernilai RM126.1 juta daripada UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak sulung bernilai RM126.1 juta daripada UEM Sunrise

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd berjaya meraih kontrak bernilai RM126.1 juta daripada Sunrise Alliance Sdn. Bhd melibatkan kerja-kerja pembinaan perumahan di Bandar Putra Permai, Mukim Petaling, Selangor.

 

Perolehan projek daripada anak syarikat UEM Sunrise Berhad itu merupakan kontrak kelima yang diraih kumpulan pada tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah nilai kontrak yang dimenangi berkembang kepada RM649.6 juta.

 

Jumlah pesanan buku Kerjaya buat masa ini bernilai sekitar RM3.4 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata, projek itu merupakan kontrak sulung yang diperoleh daripada UEM Sunrise, syarikat pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

 

Tee Eng Tiong
Tee Eng Tiong

 

“Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan dan keyakinan UEM Sunrise, di mana menunjukkan keupayaan kukuh kami dalam mengisi semula pesanan buku ketika waktu-waktu mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kontrak itu melibatkan pembinaan dua blok apartmen yang terdiri daripada enam tingkat tempat letak kenderaan dan satu tingkat bagi ruangan fasiliti.

 

Kerja-kerja itu dijangka bermula pada 15 Disember 2021 dan mengambil tempoh 27 bulan untuk disiapkan dari tarikh berkenaan.

 

Menurut Kerjaya, kontrak tersebut dijangka mendatangkan aliran hasil tambahan buat kumpulan bagi tempoh tiga bulan akan datang. - DagangNews.com