Kerugian bersih 1QFY24 TDM susut 57.6% kepada RM8.96 juta disokong prestasi positif bahagian penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih 1QFY24 TDM susut 57.6% kepada RM8.96 juta disokong prestasi positif bahagian penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerugian bersih TDM Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) menyusut 57.6% kepada RM8.96 juta berbanding RM21.11 juta pada tahun sebelumnya didorong prestasi positif bahagian penjagaan kesihatan kumpulan itu.

 

Kumpulan itu berkata, hasil keseluruhan kumpulan itu meningkat 3% kepada RM135.1 juta berbanding RM131.1 juta disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan daripada bahagian penjagaan kesihatan yang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 9% kepada RM84.6 juta, berbanding RM78 juta.

 

Katanya, pertumbuhan hasil ini adalah didorong peningkatan purata hasil pesakit dalam sebanyak 13%. 

 

"Bahagian ini mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM11.2 juta, menurun sebanyak 5% berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

 

"1QFY24 menunjukkan peningkatan kos untuk ubat-ubatan, bahan habis pakai, dan bekalan perubatan yang memberi tekanan berterusan untuk mengekalkan margin keuntungan kumpulan. 

 

"Pemacu kecekapan operasi telah dipertingkatkan untuk menampung peningkatan kos perniagaan dan mengurangkan impaknya terhadap pesakit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, pada suku berkenaan, hasil bahagian perladangan susut sebanyak 5% kepada RM50.4 juta berbanding RM53.1 juta pada 1QFY23 disebabkan penurunan jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) masing-masing sebanyak 5% dan 12%.

 

Bagaimanapun, bahagian itu mencatatkan peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 8% dan mengekalkan kadar perahan minyak (OER) pada 19.15% berbanding suku ama tahun sebelumnya.

 

"Pada awal April 2024, harga niaga hadapan MSM mencapai paras tertinggi sepanjang tahun pada RM4,579 setiap tan, menyerlahkan kekurangan stok minyak sawit dalam jangka pendek. 

 

"Stok minyak sawit Malaysia pada akhir Mac 2024 susut sebanyak 10.68% ke paras terendah dalam 10 bulan pada 1.71 juta tan metrik disebabkan peningkatan eksport, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pengeluaran. 

 

"Pengeluaran minyak sawit meningkat sebanyak 8% pada Mac 2024, menjadikan jumlah untuk Januari 2024 hingga Mac 2024 meningkat sebanyak 3% dari tahun sebelumnya," katanya. - DagangNews.com