Kerugian bersih Minetech Resources mengecil kepada RM772,000 pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Minetech Resources mengecil kepada RM772,000 pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kerugian bersih Minetech Resources Berhad mengecil kepada RM772,000 bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY23) berbanding kerugian bersih RM3.4 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Keputusan itu berjaya diraih selepas kumpulan itu mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 58.6% kepada RM36.3 juta bagi 3QFY23 berbanding perolehan sebanyak RM22.9 juta pada 3QFY22.

 

Bahagian kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41% kepada RM22 juta pada 3QFY23 berbanding RM15.6 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

 

Hasil bahagian produk bitumen meningkat 150% kepada RM10 juta berbanding RM4 juta manakala bahagian perkhidmatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 60% kepada RM3.2 juta berbanding RM2 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2022 (9MFY23), kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 45.3% kepada RM87.3 juta berbanding RM60.1 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya. 

 

Kerugian sebelum cukai susut dengan ketara sebanyak 76.2% pada 9M FY2023 kepada RM2.9 juta berbanding RM12.2 juta pada 9MFY22.

 

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, kumpulan itu berada di landasan pertumbuhan yang betul kerana berjaya mengecilkan kerugian melalui pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada bahagian kejuruteraan awam dan produk bitumen.

 

Katanya, pemulihan di bahagian perkhidmatan dan bahagian makanan dan minuman juga memberi sumbangan positif.

 

"Usaha kami kini termasuk teknologi kewangan dan tenaga boleh diperbaharui, bidang yang mempunyai pertumbuhan jangka panjang dan yang boleh memberikan pendapatan berulang."

 

"Syarikat optimis amat berhati-hati untuk suku-suku akan datang memandangkan sektor pembinaan Malaysia berkembang 8.8% pada 2022, dengan semua subsektor mencatatkan pertumbuhan.

 

"Terdapat pertumbuhan 20.8% dalam subsektor kejuruteraan awam manakala subsektor bangunan bukan kediaman berkembang 19% dan subsektor aktiviti perdagangan khas berkembang 12.7%," katanya. - DagangNews.com