Keuntungan suku kedua Top Glove naik 24 kali ganda  | DagangNews Skip to main content

Keuntungan suku kedua Top Glove naik 24 kali ganda 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove Corporation Berhad menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2Q21) yang berakhir 28 Februari lalu melonjak 24 kali ganda. 

 

Pada suku berkenaan, PAT Top Glove meningkat kepada RM2.9 billion daripada RM116.0 juta yang dicatatkan pada 2Q20.

 

Menurut makluman Top Glove di Bursa Malaysia, kumpulan syarikat itu juga berjaya meraih hasil jualan suku tahunan tertinggi bernilai RM5.37 bilion, peningkatan 336% berbanding suku yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Jelas Top Glove, jumlah jualan iaitu kuantiti yang dijual juga menunjukkan trend meningkat, menokok 19% tahun ke tahun, bagaimanapun, menyusut 8% suku ke suku ekoran pemberhentian operasi sementara di kilang-kilangnya terletak di Meru, Klang pada November dan Disember 2020.

 

“Sejajar dengan komitmennya untuk mewujudkan nilai bagi kira-kira 120,000 pemegang saham awam, Top Glove akan melaksanakan pembayaran dividen khas pada 2Q21, di mana Lembaga Pengarah komited untuk membayar daripada 2Q21 hingga 4Q21. 

 

“Pembayaran dividen itu terdiri daripada dividen khas sebanyak 20% ditambah 50% mengikut dasar dividen syarikat, menjadikan jumlah 70% pembayaran dividen. Ini melibatkan nilai 25.2 sen sesaham. 

 

“Lepas tarikh bagi dividen berkenaan adalah pada 23 Mac 2021, sementara tarikh pembayaran pada 6 April 2021. Jumlah dividen yang diisytiharkan bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 (1H21) adalah sebanyak 41.7 sen sesaham, menyaksikan 253% peningkatan daripada dividen penuh pada tahun kewangan 2020 (FY20) sebanyak 11.8 sen sesaham,” jelas Top Glove.

 

Bagi prestasi kumpulan syarikat pada 1H21, Top Glove mencatatkan nilai jualan berjumlah RM10.1 bilion, lonjakan 315% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Dalam pada itu, PAT pula mencatatkan nilai RM5.29 bilion, naik mencanak sebanyak 2,220% atau 22 kali ganda berbanding 1H20. 

 

Setakat 28 Februari 2021, kumpulan syarikat itu mempunyai kedudukan nilai bersih sebanyak RM4.06 bilion.

 

Jelas Top Glove, prestasi nilai jualan yang memberangsangkan didorong oleh permintaan sarung tangan global yang berterusan, manakala prestasi keuntungan pula dipacu oleh output jualan yang lebih tinggi, tahap penggunaan tinggi yang meningkatkan kecekapan pengeluaran, ditambah dengan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi sejajar dengan harga pasaran.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan itu, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, tidak mudah untuk mencapai prestasi memberangsangkan yang konsisten ketika berdepan persekitaran mencabar. 

 

“Kami berbesar hati untuk sekali lagi menyampaikan prestasi yang kukuh bagi suku kedua. 

 

Lee Kim Meow
Lee Kim Meow

 

“Prestasi yang tidak dijangkakan ini juga menunjukkan keberkesanan inisiatif penambahbaikan teknologi yang berterusan, di mana menumpukan kualiti dan kecekapan kos selain membolehkan kami memenuhi permintaan sarung tangan yang meningkat dengan cekap dan berkesan,” katanya dalam makluman sama.

 

Dalam pada itu, kumpulan syarikat berkenaan juga berhasrat untuk meneruskan pengembangan secara organik, bukan organik dan pelaburan yang berstrategik untuk memastikan Top Glove dapat memenuhi permintaan sarung tangan yang tinggi. 

 

Jelas kumpulan syarikat itu, permintaan sarung tangan dijangka melonjak dari tahap sebelum pandemik sekitar 10% setahun hingga sekitar 15% pada pasca pandemik, berikutan peningkatan penggunaan ditambah dengan peningkatan kesedaran terhadap kebersihan.

 

Sehubungan itu, Top Glove telah memperuntukkan RM10 bilion bagi perbelanjaan modal (capex) untuk tempoh lima tahun akan datang bermula tahun kewangan semasa sehingga FY25. 

 

Menerusi angka itu, Top Glove berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 100 bilion unit sarung tangan kepada 200 bilion unit. 

 

Walaupun berdepan landskap yang mencabar dan kompetitif, kumpulan syarikat itu mengekalkan pandangan prospek yang optimis.

 

Kata Kim Meow, lembaga pengarah berpuas hati dengan prestasi kukuh berterusan, ditonjolkan oleh kumpulan syarikat itu selain pelbagai inisiatif pemulihan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan olehnya untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja.

 

“Kami akan terus berusaha dalam meningkatkan prestasi kami dari segi hasil kewangan, dan juga meningkatkan amalan kelestarian agar setanding dengan standard antarabangsa,” ujarnya lagi. - DagangNews.com