KUALA LUMPUR 11 Julai - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Keyfield International Bhd menyerahkan kapal geotekniknal Keyfield Helms 1 (KH1) kepada Helms Geomarine Sdn Bhd untuk kontrak penyewaan selama tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama dua tahun lagi.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, perjanjian penyewaan yang dimeterai pada Disember 2023, akan bermula bulan ini hingga akhir Jun 2027.
Kapal KH1 akan digunakan untuk menyokong Helms Geomarine yang baru-baru ini memperoleh kontrak penyiasatan geoteknikal selama tiga tahun daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Selain itu, kapal itu akan menyokong kontrak jangka panjang Helms Geomarine bersama syarikat minyak utama lain di Malaysia dan di Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekuti Keyfield, Datuk Daren Kee berkata, pihaknya mula menyewakan KH1 kepada Helms Geomarine pada Ogos 2021 dan terus memberi sokongan kepada mereka dan kumpulan itu membuat keputusan strategik untuk menukar KH1 menjadi kapal geoteknikal khusus.
Beliau berkata, kumpulan itu berjaya memperoleh nota kelas KH1, yang diperakui oleh Bureau Veritas, sebagai "Kapal Perkhidmatan Geoteknik", menjadikannya satu-satunya Kapal Geoteknikal DP2 Malaysia yang dilengkapi dengan HiPAP.
"Penukaran KH1 kepada Kapal Geoteknik membolehkan kami bekerjasama rapat dengan Helms Geomarine, kontraktor Bumiputera Petronas bagi memenuhi keperluan ketat Petronas dan mengisi niche penting dalam pasaran," katanya.
Pengarah Urusan Helms Geomarine, Datuk Ir Mohamad Helmi berkata, pada 2021, mereka berjaya mencapai kejayaan dengan kontrak tiga tahun daripada Petronas dan Keyfield memainkan peranan penting dengan menyediakan kapal KH1 dan memberi sokongan modal kerja serta pengaturan kewangan fleksibel.
"Berdasarkan kepada prestasi cemerlang kami, Petronas pada Jun 2024, menganugerahkan Helms Geomarine dengan kontrak pengeboran tanah tiga tahun yang boleh dianjutkan sehingga lima tahun," katanya. - DagangNews.com