Khazanah raih RM312 juta daripada tawaran saham Telekom Malaysia | DagangNews Skip to main content

Khazanah raih RM312 juta daripada tawaran saham Telekom Malaysia


KUALA LUMPUR 16 April - Khazanah Nasional Bhd memuktamadkan tawaran 53.8 juta saham Telekom Malaysia Berhad (TM) pada harga RM5.80 sesaham, sekali gus meraih hasil kasar berjumlah RM312 juta.

 

Khazanah menjelaskan harga tawaran itu mewakili diskaun 3% daripada harga penutupan pasaran bagi saham tersebut iaitu RM5.98 pada 14 April, 2021.

 

Susulan penawaran itu, Khazanah bagaimanapun kekal memegang kira-kira 20.1% saham dalam TM. 

 

Dana kekayaan berdaulat negara itu menambah berasaskan pemulihan harga saham serta permintaan kukuh terhadap saham TM, didorong oleh pengumuman kerajaan berkaitan inisiatif MyDIGITAL yang digerakkan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, tawaran tersebut memberi peluang kepadanya untuk meraih sebahagian hasil pelaburan dalam TM.

 

“Ini sekali gus akan meningkatkan lagi jumlah apungan serta daya tarikan saham TM.

 

“Saham tersebut ditawarkan kepada sekumpulan pelabur institusi jangka panjang tempatan serta pelabur institusi pelbagai strategi, yang mana sebahagian besar pelabur adalah dalam kalangan pelabur dana jangka panjang tempatan,” menurut Khazanah dalam kenyataan di sini.

 

khazanah

 

Credit Suisse dan CIMB merupakan pengatur bersama tawaran saham tersebut. Menurut Khazanah langkah penawaran saham itu adalah sebahagian usaha berterusannya untuk mengimbangi semula portfolio serta mengitar semula pelaburan dalam aset sedia ada kepada aset baharu, termasuk aset yang dianggap strategik untuk masa depan negara.

 

“Dalam hal ini, hasil daripada tawaran tersebut akan digunakan untuk pelaburan baharu, termasuk pelaburan dalam sektor strategik baharu yang dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu,” jelasnya. - DagangNews.com