Kien Poon dilantik sebagai Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Kah Meng selaku COO Funding Societies Modalku | DagangNews Skip to main content

Kien Poon dilantik sebagai Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Kah Meng selaku COO Funding Societies Modalku

Chai Kien Poon (kiri) dilantik selaku Ketua Negara, Funding Societies Malaysia; dan Wong Kah Meng (kanan) Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Funding Societies Modalku.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - Funding Societies Malaysia mengumumkan Chai Kien Poon sebagai Ketua Negara yang akan bertanggungjawab menguruskan platform pembiayaan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbesar di Malaysia itu selain memacu perkongsian dan inisiatif perniagaan strategik.

 

Pada masa sama, Pengasas Bersama Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Funding Societies Modalku yang bertanggungjawan meyelia perniagaan di seluruh Malaysia, Singapura, dan Thailand.

 

Kien Poon menyertai platform teknologi kewangan (fintech) itu hampir empat tahun lalu dengan beliau mengetuai bahagian Projek Strategik dan Operasi sebelum berkhidmat di Funding Societies Malaysia sebagai Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA). 

 

"Saya berterima kasih dengan kepercayaan diberikan kumpulan itu kepadanya dan beliau berhasrat untuk meluaskan jangkauan fintech ke dalam landskap perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Funding Societies Malaysia merupakan antara entiti di bawah Kumpulan Funding Societies | Modalku dan secara keseluruhan, kumpulan itu telah mengagihkan RM11 bilion melalui lebih 5 juta transaksi sejak 2015. 

 

Selain Malaysia, kumpulan itu juga beroperasi di Singapura, Indonesia, Thailand serta Vietnam dan pada awal tahun 2022, Funding Societies memperoleh AS$294 juta (RM1.23 bilion) melalui pengumpulan dana Siri C+nya. 

 

Sementara itu, Kah Meng berkata, merupakan satu penghormatan untuk mengasaskan serta menerajui Funding Societies Malaysia sejak enam tahun lalu. 

 

Beliau berkata, pengalaman luas serta rekod perestasi Kien Poon melengkapkan pasukan itu dan percaya gandingan itu akan mempercepatkan misi mereka untuk terus berkhidmat kepada PKS.

 

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kien Poon dan saya berharap dapat bekerja dengannya dalam kedua-dua kapasiti baharu kami," katanya. - DagangNews.com