KUBANG PASU 29 Ogos - Gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, Boeing hari ini melancarkan semula kilang pembuatan komponen kapal terbangnya di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) Bukit Kayu Hitam dekat sini, yang dikenali sebagai Boeing Composites Malaysia (BCM).
Kilang tersebut yang digerakkan oleh kira-kira 1,000 tenaga kerja tempatan, menghasilkan produk-produk komposit dan subhimpunan (Subassemblies) untuk semua pesawat dikeluarkan gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat itu termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner.
Menurut Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt, syarikat berkenaan komited menjalinkan kerjasama dengan Malaysia untuk pelan jangka masa panjang bagi mengembangkan industri aeroangkasa negara.
"Malaysia akan memainkan peranan penting pada masa depan dalam menyokong rantaian penawaran global. Seperti dinyatakan dalam ucapan tadi, Boeing sangat berbesar hati berada di Malaysia dan kami komited kepada negara ini untuk jangka masa panjang.
"Melihat kepada potensi jangka panjang industri aeroangkasa di Malaysia, ini merupakan langkah yang tepat pada masanya buat Boeing. Kami akan terus mengembangkan tenaga kerja dan bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memastikan sumbangan yang signifikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut yang disempurnakan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob. Hadir sama Duta Besar Amerika Syarikat, Edgard D. Kagan.
Mengulas lanjut katanya, fasiliti itu merupakan kilang pembuatan milik penuh pertama Boeing di rantau ini.
"Malaysia sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam rangkaian penawaran global Boeing. Dengan pertumbuhan permintaan dalam industri penerbangan dan aeroangkasa yang kian meluas, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong rangkaian penawaran global," katanya.
Dalam pada itu katanya, Boeing turut sentiasa mendukung komitmen Malaysia bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang aeroangkasa.
"Sebanyak RM44,000 ditawarkan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra bagi melatih 30 pelajar dalam teknologi mesin dan fabrikasi," katanya. - DagangNews.com