Kit ujian kendiri COVID-19: Cadangan pemberian percuma kepada B40 dibawa ke Kabinet | DagangNews Skip to main content

Kit ujian kendiri COVID-19: Cadangan pemberian percuma kepada B40 dibawa ke Kabinet

COVID-19

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kerajaan mempertimbangkan saranan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada golongan B40.

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, cadangan berkenaan akan dibawa ke perbincangan dan mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat.

 

Bagaimanapun, keputusan cadangan itu turut tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

 

"Kita menerima baik cadangan pelbagai pihak termasuk Ikatan Komuniti Selamat yang menyarankan kit ujian kendiri COVID-19 diberikan secara percuma kepada golongan B40.

 

"Cadangan disarankan termasuk oleh aktivis, Tan Sri Lee Lam Thye adalah baik dan kerajaan akan menyuarakan pandangan dan cadangan itu pada mesyuarat kabinet," katanya seperti dilapor Harian Metro.

 

Mengulas perkara sama, beliau memberitahu, pihak kerajaan perlu meneliti cadangan pemberian kit ujian kendiri COVID-19 atas beberapa faktor.

 

Katanya, penggunaan kit itu mampu meringankan beban tugas barisan hadapan kesihatan selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

 

Menjawab persoalan berkaitan suntikan picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kedah baru-baru ini, beliau memberitahu, perkara itu masih dalam siasatan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Menurut beliau, CITF mencadangkan pegawai kesihatan yang terbabit dalam memberi suntikan diminta menunjukkan picagari sebelum dan selepas melakukan suntikan.

 

"Masyarakat juga dibolehkan meminta petugas kesihatan untuk menunjukkan picagari sebelum dan selepas melakukan suntikan," ujar beliau lagi. - DagangNews.com