SHAH ALAM 18 Julai - Kementerian Kesihatan (KKM) telah menambah lima lagi ambulans untuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, kata pengarah hospital berkenaan Dr Zulkarnain Mohd Rawi.
Menerusi laman Facebook HTAR, beliau berkata, tambahan itu berikutan keadaan darurat pada masa sekarang membabitkan penggunaan ambulans yang sangat tinggi atau disifatkan beliau sebagai ‘luar biasa’.
"Panggilan yang diterima sangat banyak. Permintaan mengatasi keupayaan sedia ada," katanya, lapor Bernama.
Dr Zulkarnain mengulas demikian susulan laporan sebuah portal dalam talian bahasa Inggeris pada Sabtu, yang mendakwa Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebagai berkata dua individu dari kawasannya gagal mendapatkan ambulans untuk menerima rawatan COVID-19 di HTAR. - DagangNews.com