KLCCP Stapled Group fokus ke arah matlamat jejak karbon rendah - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

KLCCP Stapled Group fokus ke arah matlamat jejak karbon rendah - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - KLCCP Stapled Group menerusi KLCC akan terus memberi tumpuan ke arah jejak karbon rendah selain meningkatkan akses dan pendedahan data amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada umum.

 

Kenanga Research berkata, perjalanan ke arah itu sudah bermula pada 2014 dan KLCC berada di landasan terbaik untuk meneruskan momentum untuk inisiatif ESG yang sedang dilaksanakan.

 

Katanya, menerusi perancangan lima tahun bermula 2019 hingga 2023, kumpulan itu telah mencapai keputusan yang positif dengan kemajuan yang besar dari segi perancangan, pelaksanaan dan laporan.

 

"Bagi mengukur kemajuan prestasinya, Pelan Hala Tuju Kelestarian 5 tahun diwujudkan dengan tiga matlamat utama termasuk membina presint KLCC yang pintar, selamat dan mampan selain penyediaan tenaga kerja yang efektif, inklusif dan mampan.

 

"Memerangi perubahan iklim dan mengurangkan kesan alam sekitar. Daripada 24 sasaran yang ditetapkan untuk 2021, 75% telah dicapai manakala "sasaran sedang berjalan" dan "sasaran tidak tercapai" masing-masing menyumbang 8% dan 17%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang agenda kemampanan dengan menilai kesediaannya dalam menyediakan laporan kepada orang awam selaras dengan cadangan Petugas Khas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim.

 

Katanya, usaha berterusan dalam menyediakan akses mudah kepada data ESG di ESG World Platform dengan maklumat terkini yang menyatakan komitmen dan kemajuan ESG KLCC yang akan dikemas kini secara berkala.

 

Firma itu mengesahkan penarafan ESG 3 bintang berdasarkan purata markah 10 kriteria seperti yang dinilai walaupun terdapat peningkatan dalam penilaian keseluruhan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM6.60," katanya. - DagangNews.com