KLCI bermula positif, saham Serba Dinamik kembali dalam radar pelabur | DagangNews Skip to main content

KLCI bermula positif, saham Serba Dinamik kembali dalam radar pelabur

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pasaran tempatan bermula positif menjelang pengumuman prestasi ekonomi negara suku kedua yang akan diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini. 

 

Setakat 9.39 pagi ini, indeks utama FBM KLCI menokok 1.67 mata kepada 1,503.64 mata dengan 481.92 juta saham diniagakan bernilai RM206.76 juta.

 

Malacca Securities dalam nota kajian berkata, pergerakan KLCI bagaimanapun masih rapuh di tengah-tengah jangkitan COVID-19 dan situasi semasa politik. 

 

Pada masa sama, katanya, pelabur kini memberi tumpuan kepada data ekonomi suku kedua yang akan dikeluarkan BNM.

 

"Dari segi komoditi, harga minyak mentah dan minyak sawit mentah menunjukkan penurunan manakala harga komoditi logam berkembang didorong permintaan global. 

 

"Ini ditambah pula dengan gangguan logistik di China disebabkan penutupan sebahagian besar pelabuhan ketiga terbesar di dunia akibat penularan wabak COVID-19," katanya. 

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi pada 269 berbanding 191 manakala 303 kaunter tidak berubah. 

 
Bagi dagangan pagi ini, kaunter aktif menyaksikan saham Serba Dinamik Holdings Bhd. mendahului dagangan dengan harganya diniagakan pada 44 sen.

 

Dengan meningkat setinggi 2 sen atau 4.76%, sebanyak 34.6 juta saham diniagakan dalam dagangan awal pagi.

 

Saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini kembali menjadi tumpuan setelah ia 
memperoleh 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menerusi anak syarikat di Malaysia dan Indonesia.

 

Daripada 15 kontrak itu, lapan bernilai AS$67.7 juta (RM286.3 juta) dengan jangka masa kerja sehingga 31 Mei 2024.

 

Turut menjejaki saham aktif ialah Opcom Holdings Bhd. menokok 4.5 sen kepada 56.5 sen setelah anak syarikatnya, Opcom Cables Sdn Bhd., meraih kontrak membekalkan kabel optik kepada Telekom Malaysia Bhd. (TM). 

 

Selain itu, KNM Group Bhd dan Tanco Holdings juga masing-masing aktif diniagakan dengan menokok 1 sen dan 0.05 sen. 

 

Vitrox Corp. Bhd. pula mendahului kaunter untung dengan sahamnya melonjak 54 sen kepada RM19.48 dengan 16,500 saham diniagakan.

 

Kaunter untung turut menyaksikan saham Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. diniagakan tinggi pada RM14.60 setelah menokok 68 sen diikuti Genetec Technology Bhd. menokok 38 sen kepada RM26.88. 

 

Untuk kaunter rugi, dagangan saham Kesm Industries Bhd. diniagakan 16 lebih rendah kepada RM12.20 diikuti BSL Corporation Bhd. susut 9 sen kepada RM1.01. - DagangNews.com