KLCI dibuka tinggi, naik 0.3% | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi, naik 0.3%

bursa malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - FBM KLCI mencatatkan peningkatan indeks sebanyak 0.3% kepada 1,594.28 setakat 9.06 pagi.

Peningkatan itu didorong oleh lonjakan pasaran besar Top Glove, diikuti oleh syarikat pembuat sarung tangan getah lain dan Hartalega serta Petronas Dagangan Berhad.

Bukan itu sahaja, pelabur juga dipercayai mengalu-alukan berita mengenai tempoh moratorium akan dilanjutkan yang bakal diumumkan dalam Parlimen Malaysia hari ini, seperti dilaporkan Trading Economics.

Tempoh moratorium yang akan berakhir pada September depan dilaksanakan bagi membantu perniagaan dan individu yang terjejas akibat COVID-19.

Bagaimanapun, saham pengguna dan industri menurun selepas Malaysia dilaporkan bakal melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya angka kes negara mencapai tiga digit. 

Sementara itu, pasaran Asia tidak menentu susulan konflik perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Reuters melaporkan, niaga hadapan saham AS merosot dan saham Asia menerima tekanan didorong oleh penutupan pejabat konsulat di China dan AS, sekaligus mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.  

Niaga hadapan S&P500 turun 0.2% sementara niaga hadapan Nasdaq turun 0.3%. 

Nikkei (Jepun) jatuh 1.3%, dibuka semula setelah hujung minggu yang panjang.

Indeks MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun tidak berubah. - DagangNews.com