KLCI menjunam 11% tanpa sokongan 3 kaunter penjagaan kesihatan - Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

KLCI menjunam 11% tanpa sokongan 3 kaunter penjagaan kesihatan - Bursa Malaysia

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Jika tiada sokongan tiga kaunter penjagaan kesihatan yang merupakan benefisiari penularan COVID-19, indeks pasaran Malaysia mungkin merudum sehingga 11% setakat November 2020.

 

Tiga kaunter penjagaan kesihatan itu adalah Hartalega Holdings Berhad, IHH Healthcare Berhad dan Top Glove Corporation Berhad.

 

Sebaliknya, Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, FBM KLCI hanya menurun 1.6% sekali gus menyaksikan Bursa Malaysia salah satu pasaran sedang membangun terbaik di ASEAN selain Bursa Hanoi. 

 

“Indeks penjagaan kesihatan telah melonjak 220.9% setakat November 2020.

 

Tan Sri Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

 

"Jadi, jika kita singkirkan prestasi daripada kaunter penjagaan kesihatan terutamanya sarung tangan, angka itu mungkin akan menjadi berbeza, ini bermaksud FBM KLCI mungkin jatuh sebanyak 11% setakat November 2020,” katanya menurut laporan Bernama. 

 

Memasuki November hingga Disember 2020, Abdul Wahid melihat harga kaunter sarung tangan kembali normal selepas nisbah harga sektor kepada perolehan (P/E) merudum 15 kali lebih rendah daripada tahap tinggi 45 kali ganda pada Ogos 2020.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan permintaan kaunter penjagaan kesihatan akan terus berkembang sama ada wujudnya penularan COVID-19 atau pun tidak kerana kesedaran tinggi terhadap aspek kebersihan.

 

Selain kaunter penjagaan kesihatan, hanya indeks teknologi serta produk industri dan perkhidmatan daripada 13 indeks sektor menyaksikan pertumbuhan positif bermula Januari hingga November 2020. 

 

Untuk rekod, FBM KLCI melonjak daripada paras rendah 1,219.72 pada 19 Mac 2020 kepada paras tertinggi sepanjang tahun ini iaitu 1,628.26 pada 3 Disember 2020. - DagangNews.com