Perdagangan Malaysia bagi sembilan bulan 2024 cecah RM2.14 trilion, eksport berkembang 5.2% - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia bagi sembilan bulan 2024 cecah RM2.14 trilion, eksport berkembang 5.2% - MITI

Gambar: DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2024 meningkat 10.2% kepada RM2.139 trilion melebihi paras RM2 trilion tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang  menganggarkan peningkatan eksport di Asia sebanyak 7.4% pada 2024, eksport Malaysia berkembang sebanyak 5.2% kepada RM1.115 trilion. 

 

Katanya, import naik 16.1% kepada RM1.024 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM91.21 bilion. 

 

"Perdagangan naik sebanyak 4.7% kepada RM234.84 bilion berbanding September 2023 disokong prestasi kukuh dalam sektor pertanian. 

 

perdagangan

 

"Malaysia mencatatkan eksport bernilai RM124.01 bilion, dan import sebanyak RM110.83 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang ke-53 bulan berturut-turut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurut MITI, pertumbuhan eksport dicatatkan bagi barangan optik dan saintifik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan 
peralatan. 

 

Katanya, dari segi pasaran, kenaikan eksport yang ketara telah dicatatkan ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan. Tambahan pula, eksport ke Taiwan merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). 

 

Kementerian itu berkata, disokong oleh pertumbuhan kukuh 5.1% bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada separuh pertama (1H) 2024, Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.9% bagi 2024 (unjuran pada April 2024: 4.3%). 

 

Sementara itu, WTO juga telah menyemak lebih tinggi pertumbuhan volum perdagangan barangan dunia kepada 2.7% untuk 2024 (unjuran pada April 2024: 2.6%), berikutan inflasi yang lebih rendah dan persekitaran kadar faedah lebih baik, faktor yang secara amnya menggalakkan perbelanjaan perniagaan, serta meningkatkan pendapatan isi rumah 
dan perbelanjaan pengguna. 

 

"Prospek optimis ini digambarkan di dalam petunjuk makroekonomi Malaysia yang bertambah baik, termasuklah perdagangan, yang meletakkan negara ini pada landasan yang betul ke arah pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan mampan pada tahun mendatang," katanya.- DagangNews.com