PHB, IJN Holdings meterai MoU terokai peluasan kemudahan kesihatan | DagangNews Skip to main content

PHB, IJN Holdings meterai MoU terokai peluasan kemudahan kesihatan

Gambar/Facebook Institut Jantung Negara
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Okt - Syarikat pelaburan hartanah di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan IJN Holdings Sdn Bhd (IJN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dalam peluasan kemudahan kesihatan hospital pakar tersebut.

 

Kerjasama strategik itu akan menerokai model perniagaan berdasarkan komitmen dan pembiayaan hadapan, yang akan memanfaatkan PHB dan IJN dengan menyediakan rangka kerja untuk menyokong projek pembangunan kesihatan IJN. 

 

Di bawah model berkenaan, PHB komited untuk membeli kemudahan kesihatan tersebut setelah ia siap dibina, memastikan sokongan kewangan kepada pemaju dan menjadikan projek itu lebih menarik kepada para pelabur dan rakan kongsi. 

 

IJN

 

Pendekatan terbabit membolehkan IJN menumpukan pada misi utamanya untuk menyediakan rawatan kardiovaskular bertaraf dunia sambil mengurangkan beban dan risiko dalam menguruskan pembangunan tanah dan hartanah.

 

Penarafan kredit AAA PHB daripada RAM Ratings dan Penarafan Kelestarian Gold 3 memberikan sokongan kukuh kepada pemaju untuk mendapatkan terma pembiayaan yang lebih menguntungkan serta meningkatkan aksesibiliti pinjaman. 

 

Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh daya maju projek kesihatan tetapi juga memastikan projek dapat disiapkan mengikut masa untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan perubatan.

 

Kerjasama tersebut penting bagi PHB dalam sektor kesihatan, terutamanya dalam era pasca pandemik. 

 

Infrastruktur kesihatan yang maju di Malaysia serta reputasinya sebagai destinasi pelancongan perubatan terkemuka menyediakan asas kukuh untuk kerjasama ini untuk meningkatkan penawaran kesihatan negara dan menarik lebih ramai pesakit antarabangsa. 

 

Dengan usahasama IJN, penyedia rawatan kardiovaskular terkemuka di Malaysia, inisiatif itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang unggul.

 

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, kerjasama tersebut menunjukkan komitmen pihaknya untuk mencipta nilai lestari melalui pelaburan strategik dalam sektor kesihatan. 

 

"Model komitmen hadapan membolehkan kami memanfaatkan kekuatan kewangan untuk menyokong peluasan kemudahan kesihatan IJN, selain menyumbang kepada kecemerlangan kesihatan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib menyatakan, IJN komited untuk berkembang ke luar Kuala Lumpur, mencapai kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang lebih luas kepada masyarakat. 

 

"Inisiatif ini akan membuka jalan untuk penubuhan kemudahan baharu, memastikan akses kepada rawatan kardiovaskular khusus bagi komuniti di seluruh Malaysia, tanpa mengira lokasi mereka.

 

"Adalah penting untuk ditegaskan bahawa ini lebih daripada sekadar kerjasama pembangunan infrastruktur, ia mencerminkan komitmen kami terhadap masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia," jelas beliau.

 

Sementara itu, majlis menandatangani MoU antara PHB dan IJN diadakan di ibu pejabat PHB, Shah Alam, semalam dengan PHB diwakili oleh Mohamad Damshal, manakala IJN diwakili oleh Dr Mohamed Ezani. - DagangNews.com