Pelaburan sebanyak RM85.7 bilion diperlukan dalam R&D bagi capai sasaran NSTIP 2021-2030  | DagangNews Skip to main content

Pelaburan sebanyak RM85.7 bilion diperlukan dalam R&D bagi capai sasaran NSTIP 2021-2030 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pelaburan sebanyak RM85.7 bilion dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperlukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (NSTIP) 2021-2030.

 

Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) berkata, dasar itu bertujuan meningkatkan perbelanjaan bagi R&D (GERD) kepada 2.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 dan 3.5% menjelang 2030.

 

“Berdasarkan tinjauan bagi meningkatkan perbelanjaan R&D kepada 3.5% daripada KDNK menjelang 2030, anggaran perbelanjaan yang diperlukan ialah RM25.7 bilion daripada sektor awam dan RM60 bilion daripada sektor swasta.

 

"Ini berdasarkan nisbah sumbangan 30 daripada sektor awam dan 70 daripada swasta," kata MOSTI di laman web Parlimen.

 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), yang bertanya sama ada kadar pembiayaan R&D memberi kesan kepada pembangunan teknologi dan kapasiti inovasi negara. 

 

Semasa berhujah, beliau merujuk kedudukan Malaysia dalam sektor teknologi dan peruntukan R&D berbanding negara lain seperti Korea Selatan.

 

MOSTI berkata, nisbah peruntukkan GERD daripada KDNK negara adalah kira-kira 1.0%, bersamaan dengan RM13.48 bilion, yang jauh ketinggalan berbanding peruntukan Korea Selatan hampir 5.2% daripada KDNK, berjumlah RM368.09 bilion pada 2022.

 

“Data juga menunjukkan nisbah perbelanjaan R&D antara sektor awam dan swasta di Malaysia ialah 59 kepada 41, di mana sektor swasta menyumbang 18%, iaitu lebih rendah berbanding sektor awam,” katanya.

 

Kementerian itu berkata, kerajaan sedang mengambil langkah proaktif melalui inisiatif seperti Tabung Endowmen Sains Malaysia (MSE), i-Connect, Single Window, pembiayaan geran, dan insentif potongan cukai dua kali untuk perbelanjaan R&D.

 

MOSTI berkata, kerajaan juga sedang meningkatkan akses kepada teknologi terkini melalui pelbagai program di bawah agensi dan jabatan berbeza untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta.- DagangNews.com