KLCI, ringgit berakhir lemah, saham Hartalega, Supermax, Top Glove, Kossan pula paling untung | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit berakhir lemah, saham Hartalega, Supermax, Top Glove, Kossan pula paling untung

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pasaran tempatan petang ini ditutup rendah dengan indeks utama FBM KLCI susut 3.45 mata kepada 1,516.52 mata meskipun sebelum itu diniagakan setinggi 1,521.57 mata.

 

Kelemahan ini bagaimanapun sejajar dengan pasaran Asia yang lain ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap varian Delta. 

 

Malaysia hari ini merekodkan 11,985 kes jangkitan COVID-19 dengan Selangor masih mendahului negeri-negeri lain dengan 5,550 diikuti Kuala Lumpur 1,1174 kes. 

 

Sehubungan itu, ia menyaksikan saham-saham berkaitan sarung tangan getah mengungguli kaunter untung ketika dagangan berakhir petang ini. 

 

Hartalega Holdings Bhd. ditutup tinggi kepada RM7.89 setelah menokok 31 sen dengan 7.34 juta saham diniagakan.

 

Ia diikuti saham Supermax Corp. Bhd. menokok 30 sen kepada RM3.69 manakala Top Glove Corp. Bhd. pula naik 23 sen kepada RM4.23. 

 

Selain itu, Kossan Rubber Industries juga ditutup tinggi pada RM3.49 setelah menokok 18 sen. 

 

Bagi kaunter rugi pula, didahului dengan saham Malaysia Pacific Industries Bhd. ditutup rendah pada RM41.20 setelah susut 50 sen.

 

Kebanyakan saham berkaitan perladangan mengungguli kaunter rugi, antaranya, Kuala Lumpur Kepong Bhd. susut 24 sen kepada RM19.48 diikuti BLD Plantation Bhd. susut 20 sen kepada RM9.

 

Saham Sime Darby Plantation Bhd. turut menyusut 9 sen kepada RM3.60 sesaham.

 

Selain itu, saham-saham perbankan yang juga sebahagian daripada komponen utama FBM KLCI turut mencatat kerugian, antaranya, CIMB Group susut 8 sen kepada RM4.48 diikuti RHB Bank Bhd. susut 5 sen kepada RM5.20.

 

Public Bank Bhd. juga ditutup rendah pada RM4.01 setelah susut 3 sen manakala Maybank susut 2 sen kepada RM8.01.

 

Dalam kalangan kaunter aktif pula, saham Pasukhas Group Bhd. menokok 0.05 sen kepada 11 sen diikuti Systech Bhd. ditutup 0.1 sen lebih tinggi kepada 31.5 sen manakala Ramssol Group Bhd. menokok 8.5 sen kepada 75.5 sen.

 

Haily Group Bhd. yang membuat penampilan sulung di pasaran Ace Bursa Malaysia pagi tadi, berakhir pada 74 sen dengan 96.3 juta saham diniagakan.

 

Sebaliknya, saham Borneo Oil Bhd. susut 0.5 sen kepada 3 sen diikuti Serba Dinamik Holdings Bhd. susut 0.05 sen kepada 43 sen.

 

Keseluruhan pasaran petang ini menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 580 berbanding 400 manakala 450 kaunter tidak berubah. 

 

Reuters melaporkan apabila kebanyakan pasaran di rantau ini kembali melaksanakan semula sekatan pergerakan penuh atau hanya separuh, pemulihan ekonomi akan menjadi perlahan sehingga dunia bersama-sama mencapai vaksinasi.

 

Petang ini juga, menyaksikan ringgit ditutup lemah pada RM4.2300/2350 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan Isnin, RM4.2240/2265. 

 

AmBank Research dalam nota kajian hari ini menjangkakan prospek ringgit dalam tempoh terdekat akan terus lemah dengan sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan akibat kes jangkitan kes COVID-19 dan pengurusan wabak ini.

 

Bagaimanapun, ringgit boleh mengukuh berbanding dolar AS dalam tempoh jangka masa panjang dengan mengambil manfaat daripada kelemahan mata wang utama itu. - DagangNews.com