KLK berdepan prospek mencabar akibat pasaran minyak sawit tidak menentu - HLIB | DagangNews Skip to main content

KLK berdepan prospek mencabar akibat pasaran minyak sawit tidak menentu - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) akan terus berdepan prospek mencabar bagi tahun kewangan 2023 (FY23) terutama daripada pasaran minyak sawit yang tidak menentu.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, cabaran itu muncul daripada perubahan dasar perdagangan antara negara pengguna dan pegeluar selain ketegangan geopolitik yang berterusan.

 

"Selain itu, persekitaran operasi untuk perniagaan oleokimia dijangka menghadapi masalah yang berterusan (terutamanya di Eropah) akibat ketakutan terhadap kemelesetan global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2022 menyusut kepada RM443.04 juta berbanding RM599.32 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM6.71 bilion berbanding RM6.83 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bagi segmen perladangan kumpulan itu menurun kepada RM333.6 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Firma itu menyemak naik unjuran hasil FY23-24 sebanyak 6.2% dan 1.5% dengan mengambil kira andaian hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggidan kadar cukai berkesan yang lebih rendah (untuk FY23).

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM26.27 sesaham. - DagangNews.com