KUALA LUMPUR 11 Jan - Malacca Securities menjangkakan kontrak baharu yang diraih Kelington Group Berhad akan menghasilkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tinggi selaras dengan hasil kerja kumpulan itu sebelum ini.
Firma itu berkata, kejayaan meraih kontrak itu memberi keyakinan bahawa kumpulan itu akan mendapat lebih banyak kontrak baharu pada FY23.
Katanya, kumpulan itu memiliki kontrak terkumpul berjumlah hampir RM2.27 bilion dan ia mewakili nisbah sebanyak 4.4x berbanding hasil FY21 sebanyak RM517.7 juta yang akan memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sementara itu, tender kekal sihat pada kira-kira RM1.5 bilion melibatkan projek sistem gas ketulenan ultra tinggi (UHP)
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan memanfaatkan kepakaran mereka sebagai pakar UHP untuk mengikuti rancangan pengembangan kilang fabrikasi wafer global yang kukuh.
"Walaupun industri Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menjangkakan jualan industri semikonduktor global menyusut sebanyak 4.1% pada 2023, kami menjangkakan permintaan akan disokong oleh pusat data besar, kenderaan elektrik, aplikasi IoT dan 5G," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Kelington Technologies Sdn. Bhd., memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM170 juta di Kuching, Sarawak daripada pembekal penyelesaian semikonduktor mikro elektronik global.
Kontrak tersebut melibatkan pembinaan kilang cip bersepadu di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Kuching.
Firma itu berkata, segmen gas perindustrian akan dirangsang dengan permulaan skim bekalan 10 tahun untuk pemain semikonduktor optoelektronik di Kulim, Kedah pada 1QFY23.
Firma itu menjangkakan, sumbangan segmen gas perindustrian kekal di bawah 10% untuk FY23 memandangkan majoriti kontrak yang diperoleh dalam beberapa tahun kebelakangan ini lebih cenderung ke arah UHP.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham. - DagangNews.com