Kontrak NSW DNeX dengan kerajaan dilanjut 3 tahun lagi | DagangNews Skip to main content

Kontrak NSW DNeX dengan kerajaan dilanjut 3 tahun lagi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kontrak Tetingkap Tunggal Nasional atau National Single Window (NSW) yang diberikan oleh kerajaan kepada anak syarikat Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. dilanjutkan selama tiga tahun lagi. 

 

Dagang Net Technologies telah menerima kontrak lanjutan yang melibatkan ekosistem Fasilitasi Perdagangan itu dari kerajaan, di mana akan dilanjutkan bermula 1 September 2021 hingga 31 Ogos 2024.

 

Di bawah kontrak lanjutan itu, syarikat berkenaan akan terus menyediakan enam e-perkhidmatan teras untuk NSW bagi Fasilitasi Perdagangan iaitu eDeclare, eManifest, ePCO, ePermit, ePermitSTA, dan ePayment, menurut DNeX dalam sebuah kenyataan. 

 

Kesemua perkhidmatan dalam talian itu menghubungkan komuniti perdagangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selain agensi berkaitan bagi pemprosesan dokumen import dan eksport. 

 

Dalam pada itu, syarikat juga akan menyediakan perkhidmatan kepada Tetingkap Tunggal ASEAN.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX merangkap Pengerusi Dagang Net, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kontrak lanjutan itu membuktikan kekuatan dan keupayaan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan dalam talian terkemuka untuk kemudahan perdagangan. 

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir 
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir 

 

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia iaitu Kementerian Kewangan dan JKDM atas keyakinan berterusan mereka terhadap kami,” katanya.

 

Berbekalkan 30 tahun pengalaman dari segi pengetahuan, kepakaran dan pengetahuan operasi dalam penawaran e-perkhidmatan bagi kemudahan perdagangan, syarikat itu telah dilantik sebagai pengendali ekosistem Fasilitasi Perdagangan NSW sejak ia dilancarkan pada 2009. 

 

NSW bagi Fasilitasi Perdagangan menjadi pemacu utama kepada prestasi kewangan DNeX, menyumbang hasil kira-kira RM90 juta setiap tahun. 

 

Persekitaran perdagangan itu dapat mempercepatkan proses pelepasan kargo, mengurangkan kos dan waktu untuk menjalankan perniagaan, serta memberikan sumbangan positif terhadap kecekapan perdagangan negara dan daya saing global.

 

Tambah Syed Zainal Abidin, DNeX kekal komited dalam menawarkan e-perkhidmatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan, malah menawarkan nilai yang dapat membantu mereka untuk menambah baik operasi dan mengembangkan perniagaan. 

 

Ujarnya lanjut, DNex berhasrat untuk terus berkhidmat kepada komuniti kemudahan perdagangan dengan berkesan, bagi kedua-dua sektor kerajaan dan swasta, dengan penyelesaian digital kreatif dan inovatif untuk memenuhi keperluan perniagaan. 

 

Di samping itu, kumpulan syarikat berkenaan mahu membantu mereka memperoleh kepakaran untuk memanfaatkan sepenuhnya digitalisasi dan menguruskan operasi serta perniagaan mereka dengan berkesan, jelasnya lagi.

 

Dalam masa sama, syarikat itu juga sedang memperluas tawaran e-perkhidmatan kemudahan perdagangan dengan memperkenalkan inisiatif bisnes ke bisnes (B2B) yang dapat menyumbang kepada lonjakan ekonomi digital negara. 

 

“Kami berusaha untuk meletakkan syarikat sebagai rakan kongsi fasilitasi perdagangan digital, bukan hanya untuk agensi kerajaan tetapi juga perniagaan, ke arah peningkatan dan kecekapan dalam proses mereka,” katanya. - DagangNews.com