Kontrak pembangunan dua kluster baharu DNeX bantu tingkatkan produktiviti masa hadapan, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Kontrak pembangunan dua kluster baharu DNeX bantu tingkatkan produktiviti masa hadapan, kata HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Kontrak baharu Dagang Nexchange Bhd (DNeX) untuk pembangunan dua kluster medan minyak boleh membantu mengekalkan dan meningkatkan produktiviti minyak mentahnya. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap perkembangan itu kerana kumpulan itu akan meneroka lebih banyak pilihan untuk meningkatkan produktiviti minyak mentahnya.

 

"Unjuran kami mendapatai bahawa pengeluaran aset Anasuria akan memuncak pada 2026/2027," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kerjasama itu akan mempelbagaikan aliran pendapatan anak syarikatnya, Ping Petroleum Berhad dan membawa kumpulan itu ke tahap yang lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, usaha itu berada pada fasa awal dan ia tidak dapat menganggarkan pengeluaran tahunan kluster, sementara menunggu penjelasan lanjut daripada kumpulan itu.

 

"Difahamkan bahawa kerja-kerja awal itu tidak akan menambah pendapatan kumpulan," katanya.

 

Terdahulu, Ping Petroleum milik 90% milik DNeX telah memasuki pembangunan dan pengeluaran kluster Meranti dengan Petronas dan Duta Marine Sdn. Bhd.

 

Kontrak berkenaan juga melibatkan pembangunan dan pengeluaran kluster A dengan Petronas dan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn. Bhd.

 

Faedah penyertaan bersih Ping untuk Kluster Meranti dan Kluster A masing-masing pada 60% dan 70%.

 

Kedua-dua Kluster Meranti dan Kluster A dianggarkan mengeluarkan minyak pertama masing-masing pada 2024 dan 2027.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 93 sen sesaham. - DagangNews.com