Koo Tee Yam kini pemegang saham kedua terbesar Caely dengan 13.12% ekuiti | DagangNews Skip to main content

Koo Tee Yam kini pemegang saham kedua terbesar Caely dengan 13.12% ekuiti

Perbicaraan terhadap tuntutan pelbagai pihak di dalam Lembaga Pengarah Caely dijadual bermula 3 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ahli perniagaan Datuk Seri Tee Yam @ Koo Tee Yam telah membeli lebih banyak saham dalam pembuat pakaian dalam Caely Holdings Bhd, meningkatkan pegangan sahamnya kepada 13.12% pada 27 Julai lepas, daripada 11.4% sebelumnya.

 

Menurut pemfailan Caely dengan Bursa Malaysia, pegangan saham Koo meningkat selepas dia membeli 4.5 juta saham di luar pasaran, apabila bekas pengerusi eksekutif Datuk Wira Ng Chun Hau dilihat telah melupuskan jumlah saham yang sama, juga dalam transaksi luar pasaran.

 

Pembelian terbaru ini meletakkan 13.12% kepentingan Koo sebagai yang kedua terbesar dipegang oleh pemegang saham tunggal dalam Caely, berdasarkan data Bloomberg, selepas Datuk Seri Goh Choon Kim 21.05%.

 

Koo, yang pertama kali muncul sebagai pemegang saham utama Caely pada 30 Mei dengan 5.63% kepentingan, telah meningkatkan pegangan sahamnya secara berterusan dalam dua bulan lalu.

 

Anak perempuan Koo, Koo Chen Yeng, adalah pengarah eksekutif di Caely.

 

Sementara itu, perbicaraan terhadap tuntutan pelbagai pihak di dalam Lembaga Pengarah Caely dijadual bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa komposisi semasa lembaga pengarah Caley Holdings Bhd akan kekal sama seperti sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada 15 Jun 2022.

 

Mahkamah mengarahkan bahawa status quo akan kekal sehingga perbicaraan yang dijadualkan pada 3 Ogos 2022.

 

Ini berikutan tindakan undang-undang baharu yang difailkan oleh plaintif Leong Seng Wui, Kok Kwang Lim dan Valhalla Capital Sdn Bhd, yang telah berusaha untuk mengisytiharkan EGM sebagai sah untuk memecat lapan pengarah daripada lembaga sedia ada syarikat itu.

 

Saham Caely ditutup setengah sen atau 1.6% lebih rendah pada 30 sen sesaham pada 1 Ogos, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM77.5 juta. - DagangNews.com