KUALA LUMPUR 17 Julai - Sektor peruncitan koperasi boleh bertindak sebagai ejen untuk membantu menangani kos sara hidup anggota koperasi terutama golongan B40 dan M40 yang semakin meningkat dan terjejas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) , Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata, data menunjukkan hampir 30% koperasi dibawah seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjalankan perniagaan pemborongan dan peruncitan yang juga salah satu sektor ekonomi utama dijalankan oleh sektor koperasi.
“Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) yang diperkenalkan melalui Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan,” katanya dalam sesi temubual secara dalam talian di sini hari ini.
Beliau dminta mengulas mengenai isu kekurangan barang asas ditambahkan lagi dengan kos sara hidup semakin meningkat.
Mas Ermieyati berkata, sejak PKP tahun lalu banyak sektor perniagaan mula beralih kepada platform dalam talian bagi meningkatkan aksesibiliti dan jualan produk masing-masing.
“Jadi, bagi memastikan koperasi mengadaptasi platform atas talian dalam mengkormersilkan produk atau perkhidmatan sedia ada, Program Dagang Produk/Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (Program e-DAPAT) turut diperkenalkan.
“Program ini dapat membantu koperasi membuat promosi pemasaran dan jualan produk atau perkhidmatan melalui pelbagai platform dan medium atas talian yang menjadi trend pemasaran bagi premis jualan koperasi tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP ini,” ujarnya.
Katanya, sehingga 30 Jun lalu, menerusi SKM dicatatkan sebanyak 127 koperasi diluluskan permohonan moratorium PKP 3.0 yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.3 juta bagi tempoh tiga bulan.
“Moratorium ini dapat membantu koperasi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan menjadi salah satu inisiatif disediakan SKM kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan dengan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM).
“Menariknya, MEDAC turut memberikan tambahan moratorium tiga bulan menjadikan keseluruhan tempoh moratorium bagi koperasi kepada enam bulan,” katanya. - DagangNews.com