Kos dana yang lebih tinggi beri kesan kepada pertumbuhan pinjaman Bank Islam, kata CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Kos dana yang lebih tinggi beri kesan kepada pertumbuhan pinjaman Bank Islam, kata CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Bank Islam Malaysia Berhad daripada 'tambah' kepada 'pegang' dengan harga sasaran lebih rendah RM2.74 berbanding RM3.23 sebelum ini.

 

Firma itu berkata, impak positif daripada pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) akan terkesan dengan kos dana yang lebih tinggi akibat persaingan deposit.

 

Katanya, menerusi kempen deposit Bank Islam Tawarruq-i Deposit Berjangka, bank itu menawarkan kadar deposit yang lebih tinggi antara 4% (untuk tempoh enam bulan) dan 4.4% (untuk tempoh 18 bulan).

 

Berbanding dengan kadar deposit tetap biasa antara 1.85% dan 2.85% yang ditawarkan oleh bank-bank utama (untuk tempoh satu hingga 12 bulan).

 

Firma itu berkata, pihak bank perlu menawarkan kadar deposit yang menarik untuk membiayai pertumbuhan pinjamannya yang kukuh.

 

"Kami juga menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22-24 kami antara 1% hingga 15% apabila kami meningkatkan unjuran pendapatan FY22-24F kami yang boleh diagihkan kepada pendeposit (sama seperti perbelanjaan faedah untuk bank konvensional) sebanyak 1% hingga 11% untuk mencerminkan kos dana yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pihaknya positif terhadap jangkaan pertumbuhan pinjaman yang teguh melebihi 8% pada FY22 yang akan menjadi salah satu yang paling kukuh dalam sektor ini.

 

“Saham itu disokong oleh hasil dividen sebanyak 4.3% untuk FY22.

 

"Bagaimanapun, kami lebih menyukai RHB Bank Berhad bagi pendedahan kepada sektor perkhidmatan kewangan Malaysia,” katanya. - DagangNews.com