Kos pengeluaran minyak sawit mentah KLK diunjur terus meningkat pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Kos pengeluaran minyak sawit mentah KLK diunjur terus meningkat pada FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) diunjur terus meningkat pada FY23 akibat kenaikan kos baja serta impak penuh pentatapan gaji minima.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, bagaimanapun kenaikan itu sebahagiannya diimbangi pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang tinggi.

 

Katanya, kos pengeluaran MSM KLK turun sebanyak 3% kepada RM1,940 bagi setiap tan (menjadikan kos pengeluaran 9MFY22 kepada RM1,900 untuk satu tan) disebabkan pengeluaran FFB yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, pengurusan syarikat memberi bayangan bahawa harga pengeluaran MSM akan mencecah RM2,000 bagi setiap tan pada FY22 akibat kenaikan harga baja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan sektor pembuatan akan menjadi lebih baik pada 4QFY22 kesan daripada kelonggaran sekatan eksport di Indonesia.

 

Katanya, kumpulan itu akan berdepan persekitaran operasi yang lebih mencabar pada FY23 di dalam sebsegmen oleokimia kesan daripada permintaan yang tidak stabil, kos tenaga yang tinggi serta persaingan sengit daripada Indonesia.

 

"Cabaran itu dapat dikurangkan apabila sebahagian daripada kompleks penapisan dan oleokimia bersepadu di Kalimantan Timur, Indoensia siap bagi membolehkan kumpulan itu meraih margin keuntungan lebih baik daripada operasi ladangnya," katanya. 

 

Sementara itu, segmen hartanah dijangka terus stabil dengan sumbangan pendapatan antara RM15 juta hingga RM20 juta bagi setiap suku disokong pelancaran hartanah baharu dalam fasa kecil.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM27.27 berbanding RM26.80 sebelum ini dan KLK kekal menjadi pilihan utama firma itu di dalam sektor itu selepas mengambil kira penarafannya. - DagangNews.com