KUALA LUMPUR 21 Ogos - Petronas Gas Bhd diramal terus berdepan tekanan pendapatan bagi jangka pendek kesan daripada kos penyelenggaraan yang tinggi.
RHB Investment berkata, kumpulan itu bagaimanapun akan terus melabur dalam pelbagai projek yang dikawal selia dan tidak dikawal selia.
Katanya, pembinaan stesen mampatan baharu di Jeram dengan jumlah kos pelaburan lebih RM650 juta berada di landasan untuk disiapkan menjelang akhir 2026 dan projek itu akan dikawal selia di bawah rangka kerja Kawa Selia Berasaskan Insentif (IBR) selain akan diberi pampasan melalui tarif saluran paip penghantaran.
Sementara itu, katanya, loji janakuasa Sipitang dijangka siap menjelang akhir 2026 dan projek tangka simpanan gas asli cecair (LNG) ketiga bernilai lebih RM100 juta di Pengerang masih berjalan seperti dirancang dengan tarikh operasi komersial dijadual pada pertengahan 2025.
"Aktiviti penyelenggaraan keseluruhan yang dijadualkan pada tahun ini berkemungkinan sama seperti FY23, tetapi kos penyelenggaraan akan lebih tinggi disebabkan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak 8%," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas Gas raih untung bersih RM468.99 juta pada 2QFY24, susut 3.3%
Terdahulu, pendapatan Petronas Gas pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyaksikan pertambahan kepada RM1.65 bilion berbanding RM1.64 bilion pada 2QFY23.
Untung bersih berjumah RM963.24 juta pada separuh pertama FY24, peningkatan sebanyak 2% berbanding RM944.26 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan modal (capex) juga diunjur menjadi lebih tinggi pada tahun ini dengan nisbah 60:40 antara capex dikawal selia dan tidak dikawal selia.
Katanya, memandangkan andaian nisbah pembayaran dividen ialah 85% (berbanding nisbah pembayaran purata lima tahun sebanyak 90%), kumpulan itu masih menawarkan hasil dividen yang lumayan antara 4.4% hingga 4.5% bagi FY25 dan FY26.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM17.47 sesaham," katanya. - DagangNews.com