KUALA LUMPUR 3 Mei - RHB Investment menjangkakan Kossan Rubber Industries Bhd mencatatkan keuntungan teras antara RM30 juta hingga RM35 juta pada suku pertama 2024 disokong prestasi stabil dan pertumbuhan sebanyak 16% berbanding suku sebelumnya.
Katanya, unjuran itu juga disokong beberapa faktor seperti operasi yang lebih baik dan peningkatan nilai eksport sarung tangan Malaysia dan pengurangan risiko persaingan daripada pengeluar sarung tangan China.
Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun terdapat beberapa cabaran berkaitan seperti pengecilan disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan tarif gas (jangkaan kenaikan antara 4% hingga 5% pada suku pertama) dan peningkatan harga getah asli dan akrilonitril
"Bagaimanapun, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit sebanyak 0.5% dilihat akan mengimbangi cabaran ini.
"Kossan juga dijangka meneruskan pembayaran dividen pada FY24 dengan jangkaan sebanyak 30% berdasarkan nggaran semasa," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Investment berkata, dinamik operasi baru-baru ini lebih menguntungkan pengeluar sarung tangan kerana pihaknya memahami bahawa pelanggan sudah boleh menerima peningkatan purata harga jualan (ASP) pada bulan-bulan akan datang.
Mereka juga percaya bahawa peningkatan harga yang lebih ketara akan berlaku pada April dan Mei.
"Pengeluar sarung angan China dijangka menaikkan ASP kepada AS$16 hingga AS$17 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan berbanding AS$15 hingga AS$16 sebelum ini," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.40 sesaham.- DagangNews.com