KPDNHEP kemuka 9 inisiatif tangani kos sara hidup rakyat | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP kemuka 9 inisiatif tangani kos sara hidup rakyat

Kos sara hidup. Gambar oleh SAYS.com

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengemukakan sembilan inisiatif dalam menangani isu kos sara hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif tersebut adalah termasuk dengan usaha yang telah digerakkan oleh kerajaan terdahulu untuk kebaikan rakyat.

"Antara inisiatif yang kita tambah ialah jalinan kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menghapuskan isu orang tengah melalui platform e-dagang.

"KPDNHEP juga turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam memastikan harga ubat dan kos rawatan tidak meningkat," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH- Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol Wahid
Rosol Wahid

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Saifuddin meminta beliau menyatakan langkah-langkah terperinci kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Tambah Rosol, selain dua kerjasama itu, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berkenaan jaminan makanan dan rantaian bekalan makanan.

Kerajaan turut menghapuskan monopoli bagi industri-indsutri yang boleh diliberalisasikan supaya wujudnya persaingan sihat yang membolehkan pengguna dapat membeli barangan dengan harga yang lebih kompetitif.

Selain itu, program penyeragaman harga turut diperkenalkan bagi membolehkan rakyat di kawasan pedalaman yang terpencik menikmati harga barang keperluan asas yang sama dengan mereka yang dibandar.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

"Skim Harga Maksimum Musim Perayaan ke atas barangan keperluan pengguna turut dijalankan untuk tindakan pengawalan harga bagi membantu meringankan kos sara hidup masyarakat semasa musim perayaan.

"Apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tetap akan diteruskan seperti Program Pemantauan Harga oleh Pegawai Pemantau Harga Kementerian," jelasnya.

Hingga kini, sebanyak 13,025 premis telah diperiksa oleh 1,444 pegawai pemantau melalui program berkenaan.

Tambahnya, penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 pula bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga dan memastikan harga barangan adalah terkawal.

"KPDNHEP juga turut memperkasa medium interaktif secara meluas untuk perbandingan harga melalui aplikasi PriceCatcher dan aduan melalui Ez Adu," - ujarnya. - DagangNews.com