KUALA LUMPUR 27 Mei - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) KPJ Healthcare Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat sebanyak 38% kepada RM76 juta berbanding RM55 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM908 juta berbanding RM815 juta pada tahun lalu disokong peningkatan kehadiran pesakit dalaman kepada 91,039 orang daripada 88,036 orang.
KPJ Healthcare juga meningkatkan kapasiti katilnya dalam tempoh semasa kepada 3,693 katil berbanding 3,416 katil pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Hasil kumpulan itu didorong oleh prestasi positif daripada perniagaan di Malaysia. KPJ Damansara 2 (DSH2) menunjukkan peningkatan ketara dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) daripada negatif hampir RM10 juta kepada RM600,000 pada 1QFY24 diikuti pengurangan kerugian ebelum cukai sebanyak RM8.2 juta.
"Dengan pemasaran yang berkesan dan peralatan teknologi canggih, DSH2 mencapai pertumbuhan dua angka berbanding dua suku sebelum ini.
"Prestasi kumpulan juga bertambah baik disebabkan oleh pemansuhan sementara liabiliti bersih sebanyak RM43.3 juta daripada pelupusan perniagaan penjagaan warga emas di Australia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
KPJ Healthcare berkata, selain hasil di DSH2, KPJ Klang, KPJ Ampang Puteri dan KPJ Selangor menyumbang peningkatan agregat dalam hasil sebanyak RM17.8 juta.
"Hospital-hospital ini secara kolektif mencatatkan lonjakan dalam pembedahan sebanyak 13% kepada 4,509 kes dengan jumlah hari pesakit dalaman meningkat sebanyak 7% kepada 40,672 hari berbanding 38,153 hari pada 1QFY23," katanya.
KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim yang kedua sebanyak 1.00 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM43.6 juta yang akan diagihkan pada 5 Julai 2024.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya menjangkakan tahun 2024 yang stabil untuk kumpulan itu, dipacu oleh komitmen pihaknya untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan nilai "Care for Life" kepada pesakit.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif menarik sudahpun berada dalam perancangan, termasuk program penjenamaan semula dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan sempena penganjuran “Malaysia International Healthcare Megatrends 2024”, yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober ini.
"Inisiatif strategik ini dirangka untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam sektor penjagaan kesihatan dan memacu pertumbuhan perniagaan kami dengan meningkatkan pengiktirafan jenama dan jangkauan pasaran, di samping terus memupuk penyelesaian penjagaan kesihatan yang inovatif untuk memenuhi keperluan pesakit kami yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Sementara itu, KPJ Healthcare selaku rangkaian hospital swasta terbesar di Malaysia, juga sedang menggandakan usahanya dalam sektor pelancongan kesihatan, yang menyaksikan hasil perolehan meningkat 19% dari tahun ke tahun.
Dalam pada itu, KPJ Healthcare juga sedang mengembangkan keupayaan teknologinya dalam program robotik baharu untuk pembedahan invasif minimum, bermula dengan sistem robotik da Vinci di DSH2 selain turut merancang pembangunan seterusnya secara menyeluruh di 29 hospitalnya. - DagangNews.com