KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research mengunjurkan KPJ Healthcare Berhad mencatatkan peningkatan kehadiran pesakit sebanyak 14% pada FY23 (12% pada FY22) dan kenaikan kadar penghunian katil (BOR) sebanyak 66%.
Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas terdapat peningkatan permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta terutama selepas berakhirnya wabak COVID-19.
"Kami menyemak naik unjuran untung bersih FY23-FY24 antara 8% hingga 9% dengan kami menjangkakan margin keuntungan selepas cukai (PBT) daripada 9 hingga 11% kepada 10% hingga 12%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, untung bersih kumpulan itu melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM72.1 juta atau 1.66 sen pendapatan sesaham berbanding RM20.3 juta, atau 0.47 sen setahun lalu.
Hasil bagi suku tersebut meningkat 14.7% kepada RM780.9 juta daripada RM680.8 juta tahun lepas.
Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan pemulihan permintaan untuk perkhidmatannya akan berterusan pada suku tahun akan datang selain berlaku peningkatan terhadap pesakit domestik dan antarabangsa.
Katanya, pendapatan FY22 didorong oleh kehadiran pesakit yang lebih tinggi (+10%), kadar BOR sebanyak 58% berbanding 43% pada FY21 dan hasil pelancongan kesihatan (+63%) kerana kumpulan itu menyaksikan pemulihan dalam perkhidmatan bukan berkaitan COVID-19 termasuk pembedahan elektif.
"Petunjuk utama 4QFY22 secara bermusim lebih rendah disebabkan oleh cuti umum akhir tahun termasuk BOR (64% berbanding 66% pada 3QFY22), bilangan pembedahan (-4%), pesakit dalam (-3%) dan pesakit luar (-7%)," katanya.
Sementara itu, firma itu berkata, kerugian 4QFY22 Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) mengecil berbanding 3QFY22 dan pada 4QFY22, BOR meningkat kepada 38% berbanding 27%.
"Kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti katil daripada 60-123 katil pada 2023 kepada 205-265 katil pada 2025.
"DSH2 menyasarkan 30% pelancongan perubatan pada FY23 ( 50% pada 2025) dengan menawarkan perkhidmatan jantung melalui kerjasama dengan perunding untuk membawa masuk pesakit dari Asia Barat," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham. - DagangNews.com