KUALA LUMPUR 6 Ogos - KPJ Healthcare Bhd melancarkan penjenamaan semula terbesar dengan identiti jenama baharunya diperkenalkan hari ini menandakan detik penting dalam sejarah Kumpulan selama lebih empat dekad.
Inisiatif penjenamaan semula ini merupakan elemen penting dalam perjalanan transformasi Kumpulan yang bermula sejak 2023.
Komitmen ini dibuktikan dalam inisiatif terkini seperti penubuhan Pusat Kecemerlangan di seluruh rangkaian hospital dan memberi tumpuan kepada inovasi melalu Sistem Kesihatan Akademik.
Semua ini bertujuan meningkatkan usaha KPJ Healthcare dalam menawarkan perkhidmatan berasaskan nilai dan memastikan keberhasilan serta pengalaman pesakit pada standard tertinggi, selaras dengan gold standard kepada para pesakit.
Majlis penjenamaan semula yang bertemakan Celebration of Our Care for Life Journey telah diadakan di ibu pejabat KPJ Healthcare di Kuala Lumpur yang dihadiri tetamu kehormat, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Kementerian Kesihatan, Datuk Sri Norazman Ayob, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan.
Identiti jenama baharu KPJ Healthcare menggunakan gaya yang lebih kontemporari dengan tulisan baharu mempunyai sudut bulat dan lengkung yang lembut melambangkan keharmonian dan perlindungan.
Ia juga melambangan perpaduan, komitmen, kasih sayang dan komuniti.
Warna keemasan dipilih sebagai warna jenama utamanya untuk menunjukkan komitmen terhadap kecemerlangan.
Sementara itu, Chin Keat Chyuan berkata, penjenamaan semula itu bukan hanya pada perubahan logo atau rupa baharu - ia merupakan simbol transformasi dan kemajuan KPJ seiring dengan peningkatan usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik, didorong oleh teknologi serta inovasi.
"Penjenamaan semula juga selari dengan penambahbaikan perkhidmatan kami kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Walaupun penampilan diperbaharui, namun janji 'Care for Life' kami tidak akan berubah.
"Kami komited untuk menjadi rakan kongsi penjagaan kesihatan yang dipercayai pada setiap peringkat umur, meletakkan penanda aras kecemerlangan penjagaan kesihatan dan memperkasa individu dalam penjagaan kesihatan mereka untuk masa hadapan," jelas Chin.
Chin berkata, penjenamaan semula KPJ Healthcre sebagai langkah pertama transformasi seiring dengan peningkatan usaha dalam memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik, didorong oleh teknologi serta inovasi.
Sementara itu, KPJ berkata, permulaan perjalanan transformasi berperingkat kumpulan itu dijangka selesai menjelang 2026.
Sejak tahun 1981, KPJ Healthcare telah mencatatkan pelbagai pencapaian. Ia merupakan kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang melepasi paras pendapatan RM1 bilion pada tahun 2007, juga kumpulan penjagaan kesihatan pertama yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dan merupakan yang pertama memperkenalkan REIT Penjagaan Kesihatan Islam di dunia.
KPJ Healthcare juga merupakan organisasi pertama dalam industri penjagaan kesihatan yang menjalankan program pengasingan sisa klinikal yang bakal mengubah landskap penjagaan kesihatan mampan.- DagangNews.com