KUALA LUMPUR 31 Jan - Kredit sektor swasta bukan meningkat 4.7% pada penghujung Disember berbanding 4.4% pada November 2022, memberi gambaran bahawa pertumbuhan kredit yang tinggi kepada perniagaan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan kredit kepada perniagaan berkembang kepada 3.8% pada Disember berbanding 3.2% ada November 2022.
Katanya, bagi perniagaan, pertumbuhan kredit yang lebih kukuh didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi bon korporat terkumpul sebnayak 4.6% (November: 3.5%) dan pinjaman perniagaan terkumpul sebanyak 3.3% berbanding 3% pada November 2022.
"Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.5% (November: 5.6%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman.
"Pertumbuhan pengeluaran pinjaman terus kukuh pada paras 10.4% berbanding 9.1% pada Novembermeskipun pertumbuhan pinjaman terkumpul agak sederhana bagi pembelian rumah dan kereta," katanya.
Sementara itu, nisbah perlindungan mudah tunai keseluruhan untuk sistem perbankan bertambah baik pada bulan Disember, kerana bank-bank proaktif dalam menguruskan penampan mereka untuk menangani turun naik bermusim akhir tahun dalam mudah tunai sistem perbankan.
Katanya, nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.4% (November: 82.2%), disokong oleh pertumbuhan deposit yang kukuh sebanyak 5.9% (November: 5.9%).
Kualiti aset dalam sistem perbankan kekal utuh kerana keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara amnya tidak berubah masing-masing pada 1.7% dan 1.1%, katanya.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) terus mencatatkan paras berhemat sebanyak 118.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan menyumbang 1.7% daripada jumlah pinjaman,” katanya.
Mengenai inflasi, BNM berkata, inflasi keseluruhan menurun kepada 3.8% pada Disember (November: 4.0%) disebabkan oleh inflasi makanan segar dan bahan api yang terus sederhana serta inflasi teras yang lebih rendah.
"Inflasi teras menurun sedikit namun kekal tinggi pada 4.1% pada Disember (November: 4.2%).
"Inflasi teras yang lebih rendah sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih rendah untuk pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan peribadi, produk roti dan bakeri serta loteri dan perjudian," katanya. - DagangNews.com