KRI : Kualiti jalur lebar mudah alih di kawasan bandar juga rendah  | DagangNews Skip to main content

KRI : Kualiti jalur lebar mudah alih di kawasan bandar juga rendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Khazanah Research Institute (KRI) mendapati kualiti jalur lebar mudah alih yang dinikmati oleh pengguna internet terbukti lebih rendah berbanding apa yang dilaporkan oleh penyedia perkhidmatan.

 

Bahkan, masalah ini berlaku di kawasan bandar yang mempunyai infrastruktur lebih baik berbanding di kawasan luar bandar.

 

Bagaimanapun, menerusi penyelidikan KRI dalam buku terbaharunya, #NetworkedNation: Navigating Challenges, Realising Opportunities of Digital Transformation menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai
jaringan digital yang tinggi, dengan 90% isi rumah menggunakan internet, kebanyakannya
melalui jalur lebar mudah alih dalam telefon pintar. 

 

"Pola penggunaan internet menunjukkan jurang generasi digital yang kian mengecil dengan peratusan pengguna internet berusia 50 tahun ke atas meningkat daripada 4.2% kepada 16% antara 2012 dan 2018. 

 

"Sebaliknya, bagi tempoh itu, jurang jantina digital semakin meluas dengan peratusan pengguna internet dalam kalangan wanita menurun daripada 43.6% kepada 41%," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Buku tersebut yang diterbitkan di laman webnya adalah penyusunan semula makalah-makalah terbitan KRI antara September 2020 hingga April 2021 berkenaan isu-isu dasar digital. 

 

 

Sumber : Khazanah Research Institute

 

Secara keseluruhan, buku itu mengandungi lapan bab yang membincangkan cabaran mendesak berkaitan transformasi digital termasuk keterangkuman digital, kualiti jalur lebar mudah alih, pekerja platform, digitalisasi dalam kalangan syarikat, privasi dan akses kepada data, maklumat salah dan kepintaran buatan.

 

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan KRI itu turut turut mengesahkan bahawa aktiviti dalam talian yang paling popular dalam kalangan penduduk Malaysia adalah aktiviti komunikasi dan media sosial. 

 

Namun, katanya, aktiviti dalam talian yang berkaitan pekerjaan dan pembelajaran tetap rendah walaupun dengan peningkatan kebergantungan terhadap internet semasa pandemik COVID-19.

 

"Analisis KRI terhadap pekerja platform mengesahkan bahawa aktiviti pencarian pekerjaan meningkat apabila para pencari kerja mempunyai akses dan kemahiran digital yang lebih baik," katanya. 

 

Ia turut menunjukkan jurang digital dari segi kemahiran digital dan sambungan internet berlaku bukan hanya di peringkat isi rumah tetapi juga di peringkat perusahaan, dengan syarikat yang lebih besar mampu memperoleh keuntungan lebih besar daripada alat digital sementara syarikat kecil, dengan dana dan pengetahuan teknologi yang terhad, terus tercicir.

 

Menurutnya, kejayaan Malaysia digital tidak hanya bergantung kepada kebolehan semua pihak memanfaatkan
teknologi digital, tetapi juga tadbir urus digital yang baik, bermula dengan pengurusan data. 

 

Dalam hal ini, KRI menekankan keperluan menjadikan data kerajaan terbuka suatu kelaziman dan pada
masa sama mengawal selia pengumpulan dan penggunaan data peribadi oleh sektor korporat serta meningkatkan keselamatan siber. 

 

"Tahap data terbuka kerajaan Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara jiran dan membangun yang lain dan tidak menunjukkan penambahbaikan ketara selama ini. 

 

"Sementara itu, pengumpulan data peribadi yang sensitif dan terperinci oleh sektor korporat sebahagian besarnya tidak dikawal selia," jelas buku berkenaan.

 

 

Sumber : Khazanah Research Institute

 

Penyelidikan KRI juga mengkaji kesukaran untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan maklumat yang salah.

 

Penemuan awal menunjukkan  walaupun kaedah komputasi dapat membantu mengenal pasti maklumat yang salah, penyelesaian yang lebih baik untuk isu salah maklumat melibatkan penambahbaikan aspek ketelusan maklumat dan pemeriksaan fakta, sekali gus menambah nilai data terbuka kerajaan.

 

Penyelidikan KRI menerusi buku ini turut menawarkan pelbagai cadangan dasar khusus mengikut topik untuk mencapai matlamat yang disebut, bertunjangkan tiga prinsip berikut:

 

  • Meningkatkan kerjasama dengan institusi utama dan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan awam ke arah meningkatkan keterangkuman

 

  • Mewujudkan kerangka kerja menyeluruh untuk dasar digital yang memastikan saling kendali bagi tujuan tadbir urus yang baik

 

  • Meningkatkan pendidikan awam dan literasi digital di semua peringkat untuk melancarkan transformasi digital Malaysia.

 

KRI berkata, transformasi digital perlu melibatkan setiap lapisan masyarakat dengan mentitikberatkan kesejahteraan sosial dan hak asasi manusia selain pembangunan ekonomi. 

 

"Corak pemikiran 'masyarakat digital' melibatkan pertimbangan pembangunan dan reka bentuk bukan hanya bagi tujuan kecekapan tetapi juga untuk keterangkuman. 

 

"Kerangka dasar yang mengutamakan masyarakat ini menyedari bahawa cabaran yang dihadapi masyarakat digital tidak dapat diselesaikan dengan hanya menggunakan penyelesaian teknikal tetapi juga penyelesaian sosial," jelasnya.

 

Sehubungan itu, menurutnya, dasar awam yang inklusif dan bersedia adalah kunci kepada transformasi digital Malaysia. - DagangNews.com